KUALA LUMPUR: UMNO perlu membuat perubahan dengan memberi peluang kepada orang Melayu yang mempunyai pemikiran hebat untuk membawa aspirasi itu secara bersama demi kestabilan dalam jangka masa panjang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, UMNO tidak boleh lagi macam sewaktu merdeka dulu sebab hari ini hampir semua orang Melayu mempunyai pemikiran sangat berbeza.
Katanya, negara ini telah merdeka 68 tahun, jangkaan rakyat Melayu telah banyak berubah dan dalam masa hampir lapan dekad ini, sudah tentu satu perubahan besar perlu dilakukan oleh UMNO.
“UMNO harus berani berubah dan perlu ambil kira pandangan generasi muda kerana kalau tidak UMNO akan begini sahaja.
“Kita mahu jadikan orang Melayu yang terbaik di antara yang terbaik yang boleh kita tonjolkan,” katanya ketika ditemui selepas Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini semalam.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO menggariskan Rumah Bangsa dan pihaknya sentiasa terbuka untuk menerima mana-mana pihak bagi menyambut kembali termasuk mereka pernah meninggalkan UMNO.
Katanya, UMNO menubuhkan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa bagi menerima kemasukan atau penyertaan semula mana-mana pihak baik secara individu atau secara en blok.
Menurut Johari lagi, semua ahli UMNO perlu ikhlas kerana ia adalah syarat utama untuk menjayakan perancangan bagi menyatukan orang Melayu.
Katanya, setiap usaha politik mesti diasaskan kepada keikhlasan sebelum disusuli dengan strategi yang betul dan kepimpinan yang berwibawa.
Katanya, tanpa kepemimpinan yang kuat, strategi dirangka tidak akan bertahan lama.
“Dalam apa sahaja perancangan kita kena ada keikhlasan, bila ikhlas kemudian disusuli dengan strategi yang betul dan pemain-pemain dalam politik ini juga mempunyai pemimpin, mana-mana parti perlu ada pemimpin yang hebat.
“Kalau tidak, strategi itu akan sekejap sahaja,” katanya. – UTUSAN










