KUALA LUMPUR: UMNO perlu keluar daripada kepompong penerangan lama dan berani melakukan pembaharuan menyeluruh sekiranya mahu kembali relevan dalam landskap politik negara yang semakin berubah.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu kini masih terperangkap menerima serangan pihak lawan tanpa melakukan sebarang tanpa melakukan sebarang gerak balas strategik yang berkesan.
Kata Timbalan Perdana Menteri, perkara itu telah menjadi punca kekalahan BN ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) apabila membiarkan serangan fitnah pembangkang pada ketika itu.
“Tetapi apabila fitnah tersusun, pasti akan mengatasi kebenaran berselerakan. Kita ketika itu bukan hendak pertahankan, apatah lagi melakukan serangan.
“Oleh itu, dalam tempoh 22 bulan menjelang PRU16, UMNO perlu mengemaskini penerangan parti bukan sahaja mempertahankan parti, tetapi juga menyerang naratif pihak lawan,” katanya dalam Simposium Politik Era Digital Penerangan UMNO Malaysia di Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), seramai 82 peratus rakyat Malaysia menguasai komunikasi tanpa lisan seperti media baharu manakala selebihnya masih menggunakan kaedah lama.
Katanya, UMNO tidak boleh bergantung semata-mata komunikasi bersemuka jika mahu melawan naratif yang dimainkan pihak lawan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
“Dalam era sekarang di mana 97 peratus rakyat Malaysia mempunyai telefon bimbit, UMNO tidak boleh berada cara lama tetapi dengan pendekatan baharu menerusi media baharu.
“Menerusi siaran langsung di platform media sosial, liputan sasaran kini terbuka luas dan menjangkau semua lapangan,” katanya.
Beliau mengambil contoh sikap parti tertentu yang menggunakan naratif menghasut tetapi tidak mengambil pendekatan sama ketika menjadi kerajaan.
Ahmad Zahid berkata, meskipun terdapat 733 inisiatif di bawah Kerajaan Madani, masih banyak yang tidak diangkat atau diperjelaskan kepada rakyat.-UTUSAN










