UMNO laksana Kolaborasi Agung satukan parti Melayu-Islam

UMNO laksana Kolaborasi Agung satukan parti Melayu-Islam

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO bakal melaksanakan Grand Collaboration atau Kolaborasi Agung melibatkan semua parti politik Melayu-Islam bagi menjalin kerjasama ke arah penyatuan dari segi pemikiran dan gerak kerja khususnya dalam menterjemahkan agenda Melayu-Islam.

Persetujuan itu dicapai susulan sokongan penuh perwakilan terhadap cadangan yang dikemukakan ketika Sesi Penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 hari ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kolaborasi itu akan dimulakan dengan pertemuan melibatkan kepimpinan tertinggi parti yang berhasrat menyertainya, bermula dengan Presiden dan Timbalan Presiden bagi tujuan penerangan serta perbincangan lanjut.

Namun katanya, masih tiada sebarang jawatankuasa khusus dibentuk, sebaliknya gerak kerja awal termasuk pertemuan bersama kepimpinan utama parti politik Melayu-Islam telah dimulakan.

Katanya, saranan ke arah penyatuan itu telah lama dikemukakan, namun tiada cadangan konkrit pernah dibawa ke persidangan atau mesyuarat agung tahunan mana-mana parti politik.

“Saya merujuk kepada Perkara 8 dalam Perlembagaan UMNO yang menyebut bahawa usul-usul yang diputuskan dalam Persidangan Agung merupakan usul rasmi parti yang perlu diguna pakai.

“Dalam ucapan penggulungan saya tadi, saya telah menyebut tentang pembentukan beberapa jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Khaled Nordin, Musyawarah Nasional yang dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Ghani Othman serta Majlis Perlindungan Ummah yang saya sendiri uruskan.

“Namun, bagi Kolaborasi Agung ini, kita belum membentuk sebuah jawatankuasa khusus. Apa yang akan kita lakukan ialah memulakan kerja-kerja awal dengan mengadakan pertemuan bersama kepimpinan utama parti-parti politik Melayu dan Islam,” katanya ketika sidang akhbar selepas Sesi Penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, UMNO mengambil langkah strategik dengan menggabungkan tenaga serta pemikiran kepimpinan parti-parti politik Melayu-Islam melalui muzakarah atau perbincangan sebagai asas kepada kolaborasi berkenaan.

Katanya, kolaborasi itu bersifat longgar dan tidak melibatkan sebarang perjanjian rasmi atau pembentukan gabungan politik baharu.

“Saya ingin menegaskan dan menggariskan dengan jelas bahawa kolaborasi ini tidak berhasrat untuk menggugat atau mengganggu kestabilan Kerajaan Perpaduan yang wujud pada masa ini.

“Ini hanyalah satu bentuk kolaborasi, bukannya satu gabungan atau coalition. Ini merupakan hasrat murni daripada UMNO sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, UMNO turut menolak penggunaan istilah Muafakat Nasional 2.0 sekiranya terdapat cadangan menghidupkan semula pendekatan tersebut memandangkan gabungan itul telah didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN