PETALING JAYA: Kerjasama politik UMNO dengan Pakatan Harapan (PH) membentuk Kerajaan Perpaduan bukan bukan bermaksud parti itu perlu menjadi pak turut.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, UMNO perlu menjadi parti teras yang memimpin dan bukan sekadar mengikut telunjuk semata-mata daripada mana-mana pihak.
“Kita ada sejarah, kita ada pengalaman, kita ada akar umbi yang kuat. Jadi sahabat-sahabat sekalian, jangan keliru. Kerjasama politik ini bukan bermakna kita lemah.
“Kita mengamalkan politik matang, politik yang berani berhadapan, menetapkan garis merah, dan mempertahankan agama, bangsa dan prinsip Raja berperlembagaan,” katanya dalam Ucapan Dasar Ketua Wanita UMNO di sini hari ini.
Tambah Noraini lagi, keputusan untuk bekerjasama dengan PH bukan keputusan tergesa-gesa sebaliknya dibuat berdasarkan pertimbangan dan memperhalusi setiap peluang.
“Bekerjasama tidak bermaksud tunduk. Berunding tidak bermaksud menyerah. UMNO tahu garisnya, tahu prinsipnya dan tahu tanggungjawabnya.
“Justeru, Wanita UMNO akan terus berdiri teguh dan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada YAB Presiden dalam mengemudi kerjasama politik ini.-UTUSAN









