UMNO bukan melukut di tepi gantang dalam kerajaan

UMNO bukan melukut di tepi gantang dalam kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO menghantar isyarat kepada semua pihak termasuk parti kerajaan Perpaduan agar jangan sesekali melanggar tiga garis merah iaitu hak istimewa Melayu dan bumiputera, kesucian agama Islam dan kedaulatan raja-raja.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebarang kerjasama politik, sama ada dalam Kerajaan Perpaduan atau apa jua bentuk pakatan masa hadapan, bukanlah tiket percuma untuk mana-mana pihak untuk melunakkan prinsip asal UMNO.

“Saya memperingatkan rakan-rakan di dalam Kerajaan Perpaduan, jangan sangka kerana kita berada dalam satu kabinet, UMNO sudah tumpul taringnya.

“Jangan sangka kerana kita mahu kestabilan politik, kita akan pejam mata bila asas negara diganggu gugat. UMNO tidak akan diam membisu. 

“Kita akan bangun, kita akan bersuara dan akan menentang habis-habisan sesiapa jua, kawan atau lawan, yang cuba merobek tiga teras utama ini,” katanya dalam ucapan Perasmian Serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.

Mohamad berkata, perkara itu merupakan amaran UMNO kepada semua pihak.

“Tetapi jika tangan-tangan gatal mula menyentuh agama, bangsa, dan raja kami, tangan itu akan ditepis dengan segala kekuatan yang ada. 

“Ingat ini! Politik boleh berubah, gabungan boleh bertukar, tetapi prinsip ini kekal mati bersama UMNO,” katanya.

Mohamad berkata, UMNO bukan melukut di tepi gantang dalam kerajaan, sebaliknya, parti itu menjadi penyemak imbang paling berkesan, dengan suara di Kabinet yang memastikan tiada dasar melampau atau merugikan orang Melayu diluluskan begitu sahaja.

Beliau mengambil contoh di mana UMNO bertegas dalam Rang Undang-Undang Pembangunan Semula Bandar di mana menteri mewakili parti itu mengesanya ia ditangguh dan semak semula. 

“Kita mesti bela hak pemilik tanah asal dulu. Kita jaga tanah bangsa,” katanya.

Selain itu, UMNO membantah secara terus terang pihak tertentu yang mahu melaksanakan pilihan raya tempatan.

“Kita tahu risiko polarisasi kaum di bandar. Kita tahu jika ini dibuat, ketidakseimbangan kuasa akan berlaku, dan mudaratnya lebih besar dari manfaat. UMNO bantah secara terus terang. 

“Hasilnya? Hasrat itu tidak diteruskan. Siapa yang halang jika bukan UMNO?,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN