PETALING JAYA: Tindakan Pemuda UMNO menganjurkan konvensyen khas berhubung hala tuju parti dalam Kerajaan Perpaduan dilihat berpunca daripada ketidakselesaan akar umbi terhadap kedudukan UMNO dalam kerajaan yang didominasi Pakatan Harapan (PH)
Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pihaknya pernah merasai pengalaman sama sewaktu Bersatu duduk dalam PH selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
“Pada masa itu, semua pihak memaksa diri untuk hanya berkata perkara positif mengenai kerajaan PH 1.0 sebagai topeng menutup masalah sebenar. Tetapi akhirnya Bersatu membuat keputusan berani dan betul untuk keluar PH,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Mengulas mengenai jajaran politik, Wan Saiful berkata, UMNO, Bersatu dan Pas lebih selesa berada dalam saf yang sama kerana mempunyai banyak persamaan ideologi.
Katanya, semangat yang sama perlu dihidupkan semula agar wujud satu payung besar parti-parti politik konservatif bertunjangkan falsafah kanan pertengahan.
“Bersatu sendiri pernah bersetuju menyertai Muafakat Nasional (MN) dan ada surat yang ditandatangani oleh Presiden UMNO dan Presiden Pas menjemput Bersatu masuk MN.
“Berilah nama apa sekalipun. Muafakat Nasional. Payung Besar. Perikatan Nasional (PN) atau apa jua. Yang penting semangatnya sama. Saya harap agenda ini akan berjaya,” katanya.
Wan Saiful kemudian mengingatkan supaya berhati-hati terhadap suara-suara yang mahu memecahkan hubungan antara Bersatu dan Pas dengan cara meninggalkan PN.
“Kelompok trojan horse berideologi PKR dalam Bersatu pasti seronok jika perpecahan itu berlaku. Mereka sedang mencucuk kiri kanan depan belakang mengajak orang Bersatu marah kepada Pas. Mereka juga mencipta ‘redline’ yang bukan-bukan untuk menyukarkan hubungan Bersatu-Pas.
“Pas juga perlu menangani suara-suara yang mahu perpecahan atau mahu meninggalkan PN sebab jika salah satu daripada tiga parti tiada dalam gabungan, maka muafakat yang sebenar masih tidak dicapai,” katanya. – UTUSAN










