Tuan Ibrahim paling layak terajui PN – Mursyidul Am Pas

Tuan Ibrahim paling layak terajui PN – Mursyidul Am Pas

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Selepas nama Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar disebut-sebut sebagai calon utama untuk mengetuai Perikatan Nasional (PN) bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, kini nama Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula disebut sebagai orang yang paling layak.

Pun begitu, sehingga setakat ini, siapa bakal mengetuai PN terus menjadi persoalan hangat apabila Pas masih belum menamakan calon sebenar untuk dilantik sebagai Pengerusi PN.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, secara peribadi beliau melihat Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas sebagai calon pa­ling layak mengetuai PN, sambil tidak menafikan kelayakan calon lain seperti Ahmad Samsuri dan beberapa nama lain.

Menurut Hashim, Islam menetapkan empat syarat bagi seseorang pemimpin terbaik, iaitu takut kepada Allah SWT, beramal dengan syariat, membuat persediaan untuk akhirat dan reda dengan rezeki. Beliau menegaskan, Tuan Ibrahim menepati keempat-empat syarat tersebut.

“Sebelum ini, menantu Pre­siden Pas pernah mencadangkan antara Tuan Ibrahim dan Ahmad Samsuri, Tuan Ibrahim adalah calon paling sesuai sebagai Pengerusi PN dan saya menyokong cadangan tersebut. Beliau seorang pemimpin sederhana, tidak bertindak gopoh, serta tidak menimbulkan masalah kepada parti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Hashim berkata, Tuan Ibrahim juga dilihat mampu membantu menjernihkan hubungan antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PN.

“Selain itu, mengikut hierarki parti, beliau Timbalan Presiden Pas, iaitu orang nombor dua parti, dan sememangnya layak memimpin PN,” katanya.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, selepas lebih dua minggu Muhyiddin mengumum melepaskan jawatan, Pas yang menzahirkan kesediaan me­mimpin PN masih belum menamakan calon pengganti.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menolak jawatan itu, manakala nama Ahmad Samsuri dan Tuan Ibrahim terus menjadi pilihan, dengan perbincangan dalaman parti yang dilaporkan tarik-menarik antara pimpinan.

Hashim turut menegaskan, pelantikan Pengerusi PN perlu diselesaikan segera bagi mengelak polemik berpanjangan.

“Jika tidak, orang akan terus memainkan naratif kononnya Pas ketandusan calon untuk diketengahkan sebagai Pengerusi PN,” katanya.

Selain itu, Ketua Pas Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad sebelum ini dilaporkan berkata, Pas berisiko kehilangan 37 kerusi Parlimen sekiranya Ahmad Samsuri mengambil alih kepemimpinan PN, berdasarkan data dalaman parti yang enggan didedahkan.

Persoalan siapa bakal mengetuai PN terus menjadi polemik sehingga kini, dengan mesyuarat tergempar Ahli Majlis Tertinggi (MT) bagi membincangkan pelantikan itu masih belum ditetapkan tarikh pelaksanaannya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×