Tindakan undang-undang pihak normalisasi seks songsang

Tindakan undang-undang pihak normalisasi seks songsang

SIRAJUDDIN SUHAIMEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Individu atau kumpulan yang didapati cuba menormalisasi perlakuan seks songsang di negara ini bakal berdepan dengan tindakan undang-undang.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, sebarang usaha atau pendekatan yang menormalisasikan perlakuan itu adalah jelas bercanggah dengan prinsip dan ajaran agama Islam.

Kata beliau, aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) itu juga bertentangan dengan nilai akhlak, tamadun serta kerangka perundangan negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perbuatan sedemikian merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang sedia ada termasuk peruntukan Akta Kesalahan Jenayah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Seksyen 25) serta Kanun Keseksaan (Seksyen 377A, 377B, 377C dan 377D) yang memperuntukkan kesalahan berkaitan seks luar tabii,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, tular poster mengenai penganjuran program perkhemahan ‘Glamping with Pride’ kerana mempromosikan aktiviti hubungan sejenis dan LGBT.

Dalam pada itu, Sirajuddin berkata, perkara tersebut kini berada dalam pemantauan rapi Jakim bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jelasnya, pihak berkuasa tidak berkompromi terhadap mana-mana penganjuran atau pelaksanaan program yang didapati bercanggah dengan ajaran Islam, peruntukan undang-undang serta ketenteraman awam dan tindakan tegas akan diambil selaras dengan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

“Dalam masa yang sama, Jakim akan terus melaksanakan peranan penerangan, pendidikan dan pencegahan kepada masyarakat khususnya umat Islam di negara ini, agar tidak terpengaruh atau menormalisasikan perlakuan songsang sebagai satu gaya hidup kerana ia jelas bertentangan dengan agama, undang-undang dan budaya setempat.

“Sebarang perlakuan dan amalan yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam tidak
akan dikompromi. Semua pihak adalah dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan menyerahkan sebarang isu berkaitan kepada pihak berkuasa agama Islam untuk tindakan selanjutnya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini