PETALING JAYA: Punca kematian pasangan suami isteri yang ditemukan maut di kediaman mereka di Sri Aman, Sarawak kelmarin adalah akibat tikaman objek tajam.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, dapatan itu berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS).
Menurutnya, punca kematian mangsa lelaki disahkan akibat kecederaan pada leher dan dada disebabkan 11 luka tikaman manakala mangsa wanita pula meninggal dunia akibat luka tikaman di bahagian leher.
Beliau berkata, setakat ini seramai 21 saksi terdiri daripada ahli keluarga, jiran serta rakan sekerja mangsa telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
“Siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan masih diteruskan secara menyeluruh dan terperinci, termasuk mengenal pasti motif sebenar kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Zainal menegaskan siasatan dijalankan secara profesional, telus dan berasaskan bukti forensik serta keterangan saksi.
Beliau turut menasihatkan semua pihak supaya menghormati privasi keluarga mangsa dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Kelmarin, seorang guru besar berusia 45 tahun yang bertugas di sebuah sekolah di Lubok Antu dan isterinya berusia 44 tahun, seorang jururawat, ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan serius di rumah mereka di Taman Mutiara, Jalan Brayun, Sri Aman, Sarawak. – UTUSAN










