Tiga penjenayah Kapten Praba disiasat bawah SOSMA

Tiga penjenayah Kapten Praba disiasat bawah SOSMA

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga penjenayah warga Malaysia yang ditahan di Mumbai, India ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi tadi.

Ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 30-an itu yang dipercayai adalah ahli kepada kumpulan dikenali sebagai ‘Kapten Praba’ tiba pada pukul 1 pagi menaiki penerbangan komersial dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji Maharaj (CSMIA), Mumbai.

Ketibaan mereka dikawal ketat oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang bagi proses dokumentasi pada pukul 8.33 pagi.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar ketika dihubungi memaklumkan satu kenyataan media rasmi akan dikeluarkan berhubung tangkapan tersebut.

Terdahulu, ketiga-tiga suspek ditahan oleh pasukan keselamatan India di CSMIA pada Ahad lalu selepas bertindak ganas sebaik tiba di Mumbai. 

Mereka sebelum itu diusir dari United Kingdom (UK) apabila pihak imigresen di Lapangan Terbang Manchester menolak kemasukan selepas dimaklumkan mengenai status mereka sebagai penjenayah berprofil tinggi.

Mengikut protokol antarabangsa, individu yang ditolak masuk perlu dihantar semula ke lokasi berlepas terakhir, menyebabkan mereka terkandas di Mumbai. 

Menyedari keadaan tersebut, suspek dipercayai bertindak ganas bagi mengelak ditahan.

Siasatan mendapati tindakan agresif itu didorong tekanan hebat apabila mereka menyedari bakal berdepan tindakan undang-undang di Malaysia.

Ketiga-tiga mereka dikenal pasti sebagai sasaran utama Ops Jack Sparrow, operasi besar-besaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dilancarkan sebelum ini bagi membanteras kumpulan jenayah terancang.

Pada September tahun lalu, seramai 17 ahli kumpulan itu ditahan menerusi operasi bersepadu JSJ Bukit Aman melibatkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail sebelum ini memaklumkan kumpulan tersebut dipercayai aktif sejak 2023 dengan keanggotaan seramai 33 orang, diketuai individu dikenali sebagai ‘Kapten Praba’.

Semua suspek berusia antara 19 hingga 44 tahun dipercayai terbabit dalam pelbagai jenayah kekerasan termasuk pembunuhan, serangan bersenjata, samun berkumpulan serta khianat dengan api.

Kes ini dikaitkan dengan beberapa kejadian jenayah serius, termasuk serangan bersenjata di Taman Sentosa, Klang awal tahun lalu serta kes pembunuhan seorang lelaki di sebuah restoran di Brickfields pertengahan tahun lalu, selain beberapa kes jenayah terancang lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN