LANGKAWI: Tiga buah feri penumpang yang sedang menjalani kerja-kerja penyelenggaraan terlibat dalam kebakaran di Dermaga Kapal Bukit Malut, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 9.35 malam itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi pemadaman ditamatkan pada pukul 2.10 pagi tadi.
Ketua Zon 4, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Langkawi, Penguasa Bomba Mohd Zamri Abdul Ghani berkata, dua daripada feri berkenaan yang hanyut sejauh 50 meter dari dermaga terbakar kira-kira 80 peratus.
“Sebuah lagi feri hanya terbakar sekitar lima peratus, manakala dua feri lain yang berlabuh berhampiran berjaya diselamatkan, sementara sebuah lagi feri ditarik keluar dan ditempatkan di boya terapung,” katanya.
Menurut Mohd Zamri, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran hos sepanjang 91 meter dengan dua pancutan air yang dibekalkan daripada tangki jentera bomba.
Katanya, sebuah feri yang terbakar ditarik ke tebing dengan bantuan bot nelayan, manakala sebuah lagi feri yang terbakar dengan api marak dibiarkan padam sendiri.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN










