Tiga beradik sebak pilih seragam sekolah, terkenang arwah ibu

Tiga beradik sebak pilih seragam sekolah, terkenang arwah ibu

NUR Farhana Nasuha (tengah) mencuba pakaian sekolah pada program sumbangan keperluan persekolah anjuran Thirdforce Pasir Mas di bawah Yayasan Raja Shamri di Mydin Mall Tunjong, Kota Bharu, Kelantan. – UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tiga beradik yatim tidak dapat menahan sebak terke­nangkan arwah ibu mereka yang meninggal dunia awal tahun lalu selepas diberi peluang memilih sendiri pakaian dan kelengkapan sekolah bagi penggal baharu 2026.

Nur Farhana Nasuha Abdul Muiz, 10, berkata, peluang itu mengimbau memori manis dia bersama kakak Nur Farisya Na­suha, 12, dan adiknya, Mohamad Farhan Daniel, 9, semasa membeli kelengkapan sekolah bersama ibu sebelum ini.

“Sebelum ini, saya bersama kakak dan adik membeli keper­luan sekolah bersama ibu namun kali ini berbeza selepas ibu meninggal dunia awal tahun lalu akibat kanser rahim.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya gembira sebab boleh pilih sendiri. Rasa macam ibu ada teman saya,” katanya ketika ditemui pada Program Sumba­ngan Keperluan Persekolah anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Thirdforce Pasir Mas di bawah Yayasan Raja Shamri (YRS), di Mydin Mall Tunjong di sini, semalam.

Nur Farhana berkata, selepas pemergian ibunya, dia bersama adik dan kakaknya kini tinggal di bawah jagaan ibu saudara mereka.

“Saya berasa sangat gembira dan tidak sabar memulakan persekolahan kerana dapat mengenakan pakaian baharu seperti rakan-rakan lain.

“Saya suka sekolah dan cita-cita saya nak jadi cikgu. Bila dapat baju sekolah baharu, saya rasa lebih semangat nak belajar,” ujarnya.

Sementara itu, Penyelaras Thirdforce Pasir Mas, Wan Zalilah Shafie berkata, seramai 41 murid asnaf dan anak yatim dari daerah Pasir Mas menerima sumbangan bantuan kelengkapan persekolahan itu.

Katanya, sumbangan ini bertujuan meringankan beban golongan ibu bapa yang berpendapatan rendah menghadapi penggal baharu persekolah anak masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×