PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjangkakan sekurang-kurangnya tiga atau empat pegawai kanan tentera akan dituduh di mahkamah minggu depan berkait kes rasuah tender perolehan tentera dan salah guna dana awam.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, ia melibatkan masing-masing dua pegawai kanan tentera dituduh terkait Op Parasit dan Op Star.
Beliau berkata, kertas siasatan kedua-dua kes itu dijangka siap dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya pada Isnin.
Pada masa sama, beliau telah mengarahkan pegawai penyiasat untuk menyegerakan dan menyiapkan kertas siasatan kes berkenaan minggu hadapan.
Buat masa ini, pihaknya tidak berhasrat untuk memanggil mana-mana individu lain bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Buat masa ini, kami perlu menyiapkan dua kes utama terlebih dahulu iaitu melibatkan isu perolehan dan penyalahgunaan dana awam di Kementerian Pertahanan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.
Katanya, seramai 23 individu termasuk empat pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah ditahan setakat ini bagi membantu siasatan membabitkan Op Star dan Op Parasit itu yang masing-masing mula disiasat pada 7 Oktober dan 23 Disember tahun lalu.
Menurutnya, kedua-dua kes berkenaan di klasifikasikan sebagai kes berprofil tinggi dan perlu kesegeraan kerana ia melibatkan dana awam, perolehan dan pangkat yang mereka miliki.
“Setakat ini, kami telah membuka 22 kertas siasatan kesalahan asas serta satu kertas siasatan di bawah Seksyen 41 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 17A dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang masing-masing berkaitan penerimaan suapan serta kesalahan salah guna kuasa oleh penjawat awam.
“Dalam kes rasuah, kita tidak hanya melihat transaksi wang semata-mata. Kita perlu membuktikan siapa pemberi, siapa penerima dan bentuk perlindungan yang wujud,” katanya.
Katanya, setakat ini, seramai 35 saksi telah dirakam percakapan dalam tempoh kira-kira dua minggu, manakala beberapa pegawai kanan tertinggi telah dipanggil bagi membantu siasatan, termasuk dua individu yang ditahan tanpa dibawa ke mahkamah bagi tujuan reman. – UTUSAN










