Tidak timbul isu letak jawatan, Hamzah masih Ketua Pembangkang

Tidak timbul isu letak jawatan, Hamzah masih Ketua Pembangkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suasana Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila seorang ahli Parlimen kerajaan mempersoalkan sama ada Datuk Seri Hamzah Zainudin telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang.

Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) membangkitkan perkara itu sebelum Hamzah memulakan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja dengan merujuk kepada laporan yang mendakwa Ahli Parlimen Larut itu telah berundur daripada jawatannya.

“Yang di-Pertua, jika saya tidak silap, Ahli Parlimen Larut sebelum ini menyatakan beliau telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang. Jadi adakah beliau telah meletakkan jawatan atau tidak?” katanya.

Pertanyaan itu mendapat reaksi segera daripada Mohd. Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) yang mempersoalkan asas soalan berkenaan.

“Peraturan apa ini? Peraturan Mesyuarat yang mana?” katanya.

Khoo menegaskan bahawa beliau hanya meminta penjelasan sahaja berkenaan perkara itu.

“Saya hanya minta penjelasan. Berdasarkan laporan, beliau kata sudah meletakkan jawatan,” katanya.

Syahir kemudiannya mendakwa Khoo menyebarkan maklumat tidak benar.

Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Alice Lau terpaksa campur tangan dan menolak dakwaan tersebut dengan menyatakan tiada sebarang surat peletakan jawatan diterima.

“Pejabat Yang Dipertua tidak menerima sebarang surat (peletakan jawatan) daripada Ahli Parlimen Larut, jadi itu berita palsu,” katanya.

Khoo tetap bertegas bahawa beliau membaca perkara itu dalam laporan media.

Bagaimanapun, Alice mengulangi bahawa tiada surat dikemukakan dan isu tersebut tidak timbul.

“Saya telah menyatakan bahawa Pejabat Yang Dipertua tidak menerima sebarang surat daripada Ahli Parlimen Larut. Jadi tiada isu yang timbul daripada perkara ini,” katanya.

Hamzah kemudiannya bangun untuk memulakan perbahasan dan membalas dengan kenyataan yang ditujukan kepada Khoo.

“Kota Melaka, dengar saya berdiri di sini. Jangan dengar perkara palsu seperti yang disebut Kota Melaka tadi, yang kelihatan palsu,” katanya.

Pada November lalu, sebuah portal berita melaporkan mengenai satu draf dokumen dalaman yang bocor bertarikh 10 November, yang didakwa sebagai surat sulit kepimpinan Bersatu, menyeru tindakan segera terhadap individu tertentu bagi memulihkan perpaduan dan kestabilan dalam parti itu.

Dokumen yang didakwa itu, tanpa kepala surat rasmi, mencadangkan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin sebagai Ketua Pembangkang baharu bagi menggantikan Hamzah.

Bagaimanapun, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menafikan dakwaan bahawa Hamzah akan digantikan sebagai Ketua Pembangkang.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, kedudukan Hamzah kekal dan PN tidak pernah mempertimbangkan untuk menggantikannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN