Tiada masalah peluk Islam kalau jodoh dengan perempuan Melayu - Andy Teh - Utusan Malaysia

Tiada masalah peluk Islam kalau jodoh dengan perempuan Melayu – Andy Teh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Andy Teh tidak berdepan masalah untuk memeluk agama Islam sekiranya berjodoh dengan perempuan Melayu.

Katanya, dia maklum mengenai perkara itu justeru sedia menukar agama jika berkahwin dengan perempuan Islam.

“Ibu bapa saya, yang merupakan pengikut setia agama Buddha pernah bertanya soalan sama kepada saya.

“Kalau ditentukan berjodoh dengan perempuan Melayu, saya tak ada masalah (peluk Islam). Kita kena ikut undang-undang.

“Tapi, sekarang ini masih terlalu awal untuk saya bercakap tentang perkara tersebut,” katanya selepas sidang media filem Black Ops petang semalam.

Disoal tentang gosip percintaan dengan pelakon Chacha Maembong, menurut Andy mereka dalam fasa mengenali satu sama lain.

“Kami bertemu dalam satu majlis, tapi belum pernah bekerjasama.

“Kami berkawan sahaja, dalam fasa mengenali satu sama lain. Saya tak boleh komen lebih kerana tak mahu timbulkan fitnah.

“Apa pun, dia kawan yang baik dan ada ciri-ciri wanita yang saya idamkan.

“Saya boleh kata, buat masa ini kami hanya berkawan sahaja,” kongsinya.

Dalam pada itu Andy memaklumkan tidak tergesa-gesa menamatkan zaman bujang meskipun bakal berusia 40 tahun.

“Buat masa ini saya mahu tumpukan untuk membina kerjaya.

“Tapi kalau jodoh sampai, tengok macam mana. Saya ikut sahaja,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN