IPOH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu termasuk warga asing dan kanak-kanak yang didapati membuang, menempatkan atau meninggalkan sisa di kawasan awam.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat yang berkuat kuasa mulai semalam itu membuktikan bahawa tiada mana-mana pihak yang kebal daripada undang-undang.
“Tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang. Sesiapa sahaja yang didapati mencampak puntung rokok, meludah di atas jalan dan membuang botol plastik air mineral, semuanya boleh dikenakan hukuman khidmat masyarakat.
“Hukuman yang dilaksanakan itu bagaimanapun bukan bersifat menghukum, sebaliknya lebih kepada mendidik masyarakat supaya menjaga kebersihan persekitaran,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Bandar Baru Medan Ipoh di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching; Pengerusi Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning, Jenny Choi dan Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah
Mengulas lanjut beliau berkata, penguatkuasaan yang turut melibatkan warga asing itu merupakan mesej jelas bahawa undang-undang negara perlu dihormati semua pihak tanpa pengecualian.
Katanya, kanak-kanak juga tidak terlepas daripada dikenakan hukuman tersebut dan ibu bapa seharusnya bertanggungjawab untuk menjaga dan memastikan anak-anak mereka untuk lebih berdisiplin.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan, KPKT akan memberikan tempoh enam bulan kepada negeri lain termasuk Perak untuk berbincang dan mencari mekanisme terbaik bagi mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Menerusi laporan media, seramai 42 individu menjadi kumpulan pertama disiasat mengikut Akta 672 yang memperuntukkan denda maksimum RM2,000 dan 12 jam khidmat masyarakat kerana membuang sampah kecil di tempat awam.
Daripada jumlah itu, sebanyak 24 kes membabitkan warganegara manakala 18 kes warga asing selain dua kes kanak-kanak.
Mereka dikesan membuang, menempatkan atau meninggalkan sisa seperti puntung rokok, botol air, tin minuman, plastik, tisu dan pembalut makanan di tempat dan jalan awam pada sambutan Ambang Tahun Baharu 2026. – UTUSAN










