PUTRAJAYA: Naib Presiden PKR, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan menegaskan bahawa tiada sebarang masalah antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan, sebaliknya semua pihak kekal bersatu dan bekerjasama di bawah kepimpinan sedia ada.
Menurut ahli Parlimen Sungai Buloh itu, perbezaan pandangan dalam politik adalah perkara biasa dan tidak boleh ditafsirkan sebagai perpecahan.
“Bagi saya kita tidak pernah ada masalah bersama mana-mana rakan dalam Kerajaan Perpaduan. (Ini kerana) dalam satu rumah pun kadang-kadang anak dengan ayah boleh bergaduh, ibu dan ayah boleh bergaduh tetapi tidak bermaksud mereka tidak bersama.
“Yang penting ketua-ketua keluarga sudah bersama, kalau kita lihat anak bergaduh, itu bukan bermaksud keluarga itu sudah berpecah, jadi tiada isu, memang kita semua bersatu padu, kita semua bekerja bersama-sama,” katanya menerusi sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO kekal bersama Kerajaan Perpaduan.
Ramanan turut menekankan bahawa sebarang keputusan penting melibatkan hala tuju kerajaan dibuat secara bersama oleh pimpinan tertinggi parti. – UTUSAN










