KUALA TERENGGANU: Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Kampung Kubang Jela di sini, yang gagal disiapkan mengikut jadual menyebabkan kira-kira 100 penduduk di situ berdepan masalah tekanan air rendah yang tidak berkesudahan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Kubang Jela, Jusoh Ngah berkata, projek di dua kawasan sepanjang 400 meter dan 300 meter itu tidak siap sepenuhnya sejak dua tahun lalu menyebabkan penduduk terlibat berdepan masalah tekanan air rendah.
Katanya, walaupun projek itu hanya membabitkan kurang 30 rumah iaitu kira-kira 100 penduduk, masalah air perlu diatasi untuk keselesaan mereka.
“Kerja- kerja yang tidak disiapkan adalah saluran paip yang dibina tidak disambung ke paip utama di jalan utama. JPKK sudah buat dua surat rayuan kepada pihak berkenaan pada 2024 dan 2025 memohon supaya dipercepat kerja-kerja yang terbengkalai,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Menurut Jusoh, semasa projek itu dilaksanakan pada 2022, penduduk menarik nafas lega kerana menyangka masalah bekalan air bakal berakhir namun ia tetap tidak berkesudahan.
“Boleh dikatakan kebanyakan rumah penduduk di kawasan ini terpaksa menggunakan pam air untuk menyedut air. Masalah air menjadi lebih teruk apabila ada majlis keraian atau pada musim perayaan.
“Difahamkan, masalah kontraktor antara punca projek berkenan gagal disiapkan mengikut jadual,” katanya.
Seorang penduduk, Fatimah Ngah, 74, berkata, sekiranya keenam-enam anaknya yang tinggal di luar kawasan itu pulang ke kampung, masalah air menjadi lebih teruk.
“Saya pernah menakung air bertong-tong, malah terpaksa berjimat guna air. Mandi pun hanya dua kali sehari. Untuk mencuci baju pun kadangkala tak cukup air,” “katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd Takir Musa, 69, pula menyifatkan masalah itu mengganggu kelancaran aktiviti harian penduduk.
“Biasa sebelah pagi tekanan air agak kuat tapi menjelang tengah hari, ia jadi lebih rendah kerana penggunaan yang tinggi,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Alias Razak menggesa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mempercepat proses pelantikan kontraktor baharu tanpa terikat kepada birokrasi yang terlalu panjang memandangkan projek itu diklasifikasikan sebagai projek ‘sakit’. – UTUSAN











