KUALA LUMPUR: Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terlibat dalam gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa merupakan pengkhianat negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kegelinciran integriti adalah tindakan yang keji, hina serta tidak bermoral.
Kata beliau, perbuatan itu sangat bercangah dengan sikap dan budaya sebenar Kementerian Pertahanan serta bukan sahaja menjejaskan wibawa ATM tetapi turut merupakan pengkhianatan yang besar terhadap sumpah setia pada negara.
“ATM bukan sebuah kolam rasuah, bukan befungsi sebagai ekosistem nasional yang dipacu dengan imbuhan, ganjaran dan pemberian yang keji serta tidak halal.
“Elemen buruk sedemikian bukan sahaja menjejaskan kepercayaan rakyat dan menjejaskan persepsi terhadap kehebatan serta keungulan ATM, ia mengkhianati tujuan moral sebuah angkatan persenjataan yang berdaulat,” katanya pada Sesi Penerangan Menteri Pertahanan mengenai isu terkini berkaitan rasuah dan salah guna kuasa dalam ATM di Dewan Rakyat, hari ini.
Namun Mohamed Khaled berkata, sistem pertahanan negara tetap utuh dan tidak terjejas susulan skandal rasuah membabitkan beberapa pegawai tertinggi ATM kebelakangan ini.
Katanya, kesiapsiagaan sistem pertahanan negara berada pada tahap terbaik dan tidak ada sama sekali gangguan terhadap operasi pertahanan.
Beliau memaklumkan, semua proses perolehan yang tertangguh akan diselaraskan dengan Kementerian Kewangan supaya operasi ATM dapat berjalan seperti diharapkan.
“Bagaimanapun, saya ingin menyampaikan kepada Dewan yang mulia ini supaya segala masalah yang terbit mengenai pegawai ATM kebelakangan ini, tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghukum keseluruhan ATM sebagai sebuah institusi yang rosak atau tidak berintegriti.
“ATM, pada asasnya, masih berfungsi sebagai sebuah institusi pertahanan nasional yang hebat, unggul dan berfungsi dengan baik, yang menyumbang secara langsung kepada kestabilan negara, kemakmuran ekonomi dan keamanan yang sedang kita nikmati hari ini,” katanya. – UTUSAN










