Tengok atau tidak drama saya? Jangan main petik saja- Erma Fatima - Utusan Malaysia

Tengok atau tidak drama saya? Jangan main petik saja- Erma Fatima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah, Erma Fatima, menyangkal dakwaan seorang individu yang melabelkan karya arahannya sebagai mengarut hanya kerana beliau tidak pernah menghasilkan filem seperti Hind Rajab yang diterbitkan oleh produksi luar negara.

Erma atau Fatimah Rahmad Ali, 57, menyifatkan kritikan tersebut sebagai melulu dan tidak berasas, sekali gus membalas tuduhan itu menerusi satu hantaran pedas di media sosial.

“Saya ini kalau boleh memang teringin hendak menghasilkan cerita seperti itu, tetapi masalahnya modal tidak ada. Apa kata awak sahaja jadi pelabur saya? Pasti esok juga saya siapkan skrip.

“Tak baik cakap cerita saya mengarut. Tengok atau tidak drama saya? Jangan main petik saja,” katanya tegas.

Dalam pada itu, Erma turut menafikan dakwaan kononnya beliau tidak menyokong naskhah Hind Rajab yang mengisahkan penderitaan dan perjuangan seorang kanak-kanak Palestin.

Menurutnya, tuduhan tersebut sama sekali tidak benar malah beliau sendiri sudah merancang untuk menonton filem berkenaan bersama rakan-rakan terdekat.

“Satu lagi, macam mana awak tahu saya tak sokong filem Hind Rajab ini? Saya siap rancang dengan kawan-kawan nak pergi tengok pada Ahad ini.

“Saya nak jemput akak sertai sekali. Saya belanja. Ada berani? Ahad pukul 8 malam di Mid Valley. Saya tunggu jawapan, jangan tak datang,” cabarnya.

Terdahulu, Erma berkongsi tangkap layar mesej seorang wanita yang menyelar kualiti filem dan drama arahannya sebagai mengarut, selain menuduh beliau tidak menyokong kisah perjuangan kanak-kanak Palestin, Hind Rajab. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN