KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan melaksana rombakan berskala besar Pelan Anti Rasuah kementerian itu termasuk menyemak semula proses tender dan perolehan bagi menutup sebarang ruang penyelewengan dan salah guna kuasa.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah tersebut merangkumi semakan dan penambahbaikan menyeluruh terhadap semua proses tender dan perolehan agar selaras dengan amalan terbaik.
Katanya, rasuah dalam apa sahaja bentuk bukan sahaja menafikan negara daripada memperoleh aset pertahanan yang berkualiti, malah menyebabkan pembaziran, ketidakcekapan dan ketirisan sehingga melemahkan keupayaan operasi pertahanan.
“Rasuah atau persepsi terhadap rasuah dalam apa jua bentuk di Kementerian Pertahanan mesti dihentikan. Ia menafikan Malaysia daripada memiliki aset yang bermutu dan mengancam keselamatan anggota tentera. Tiada toleransi terhadap sebarang salah laku.
“Rasuah menyebabkan pembaziran dan ketidakcekapan serta mengurangkan keberkesanan kita sebagai agensi pertahanan nasional yang utama. Ia merosakkan keperibadian anggota kita yang terdidik dengan disiplin.
“Bersedialah untuk kehilangan segala-galanya jika anda menjadi punca sektor keselamatan kita dikompromi,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu kementerian itu di Wisma Perwira di sini semalam.
Sebelum ini, Kementerian Pertahanan berhadapan isu penyelewengan tender perolehan pertahanan apabila bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan direman bagi membantu siasatan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki turut memaklumkan seorang lagi pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang disiasat dan akan didakwa tidak lama lagi berkaitan kes rasuah.
Mohamed Khaled berkata, rombakan Pelan Anti Rasuah itu merupakan antara empat bidang penyesuaian utama kementeriannya tahun ini termasuk usaha membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam sistem pertahanan negara.
“Saya menyeru semua pihak untuk bersama-sama membersihkan segala bentuk ketirisan dan salah laku tanpa mengira siapa yang terlibat. Rasuah adalah ancaman dalaman yang mampu menewaskan kita tanpa perlu melangkah ke medan perang,” katanya.
Menurut beliau, siasatan terhadap pegawai berkenaan hampir selesai dan sekiranya mendapat kelulusan Peguam Negara, pertuduhan akan dikemukakan di mahkamah.
Mengulas isu sama, Mohamed Khaled berkata, kementerian sudah menerima surat daripada Hafizuddeain yang menyatakan hasrat untuk bersara awal berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Mohamed Khaled berkata, perkara tersebut membolehkan proses mencari pengganti bagi jawatan Panglima Angkatan Tentera dimulakan.
Sementara itu, katanya, pegawai atau anggota ATM yang terlibat dalam budaya tidak bermoral seperti ‘yeye’ dan hiburan melampaui batas akan disingkir daripada perkhidmatan.
Tegasnya, budaya itu bukan sahaja bercanggah dengan ajaran Islam, bahkan meruntuhkan moral pasukan beruniform itu.
Malah katanya, sekiranya perkara itu masih berlaku, mereka yang terbabit akan disingkirkan daripada perkhidmatan tanpa kompromi.
“Kementerian Pertahanan dan ATM sememangnya sudah lama mengharamkan kegiatan yang tidak bersahsiah ini di semua kem di seluruh negara. Kita juga sudah menetapkan peraturan serta garis panduan jelas dan tegas berkaitan segala aktiviti sosial boleh diadakan di kem,” katanya.-UTUSAN










