Teliti kesesuaian keluar KWSP untuk pelan asas insurans

Teliti kesesuaian keluar KWSP untuk pelan asas insurans

Amir Hamzah Azizan - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang berbincang dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membolehkan pen­carum menggunakan dana pesaraan untuk membayar Pe­lan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) Asas.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, KWSP ketika ini membenarkan pencarum menggunakan Akaun Sejahtera bagi mendapatkan perlindungan i-Lindung bagi penyakit kritikal.

Beliau berkata, perbincangan dilakukan itu akan menilai sama ada konsep MHIT Asas boleh diterima sebagai sebahagian daripada produk yang boleh dibenarkan untuk pengeluaran.

“Kita jangka dengan pende­katan diambil dan dengan so­kongan diterima semua pihak, kita akan ada sistem yang lebih baik dan menyokong sistem kesihatan dibuat kerajaan.

“Jadi insurans asas ini penting untuk memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai kesediaan kerajaan membenarkan pembeli insurans menggunakan wang caruman KWSP di Dewan Rakyat semalam.

Berhubung pelaksanaan pem­bayaran bersama, Amir Hamzah berkata, elemen itu dimasukkan sebagai langkah awal bagi mengawal kenaikan kos rawatan selain meningkatkan ketelusan harga serta tanggungjawab bersama antara pengguna dan penyedia perkhidmatan kesihatan.

“Pembayaran bersama ini bukan bertujuan membebankan pengguna, sebaliknya memastikan semua pihak lebih berdisiplin dalam mengawal kos perkhidmatan kesihatan yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa terbuka menerima cadangan orang ramai dan maklum balas industri dengan projek rintis MHIT Asas dijadual bermula Jun tahun ini bagi menguji tahap penerimaan serta keberkesanan pelaksanaan.

Menjawab soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu), Amir Hamzah berkata, pelan MHIT Asas akan dibuka kepada semua pengendali insurans dan takaful (ITO) yang memenuhi kelayakan ditetapkan dengan penyeragaman harga bagi memastikan premium lebih terkawal dan berpatutan.

“Pelan MHIT Asas dibangun­kan bersama industri dengan sokongan Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai agensi kawal selia bagi mewujudkan sistem perlindungan perubatan yang mampan serta mendapat penerimaan meluas daripada masyarakat dan pemain industri.

“Semua ITO yang menyertai skim asas ini akan menggunakan harga sama kerana ia produk asas industri. Pendekatan ini membolehkan risiko dikongsi bersama dan seterusnya mengurangkan tekanan kenaikan premium dalam sistem,” katanya.

Katanya, perluasan penyer­taan ITO dan peningkatan bilangan pemegang polisi dijang­ka membolehkan premium di­ku­rangkan lagi melalui pengumpulan risiko yang lebih besar.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN