Tawar perkhidmatan seks di sebalik pusat kecantikan

Tawar perkhidmatan seks di sebalik pusat kecantikan, 19 warga asing ditahan

ANTARA warga asing ditahan di sebuah premis pusat kecantikan sekitar Kuala Lumpur. - GAMBAR JIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Berselindung di sebalik pusat pusat kecantikan atau spa, satu kegiatan tidak bermoral yang menawarkan perkhidmatan seks melibatkan pekerja warga asing tanpa permit diserbu Jabatan Imigresen di sekitar Kuala Lumpur dan Puchong, Selangor kelmarin.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam serbuan itu, seramai 19 orang warganegara asing ditahan melibatkan 12 perempuan warganegara Filipina, enam perempuan warganegara Vietnam dan seorang perempuan warganegara Mongolia berusia di antara 22 hingga 48 tahun.

Menurut beliau, semakan awal mendapati, tiga perempuan warganegara Vietnam yang ditahan memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS), seorang perempuan warganegara Mongolia memiliki Pas Pelajar, 12 perempuan warganegara Filipina memiliki Pas Pembantu Rumah dan warganegara asing yang lain tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini.

“Pasukan operasi telah menyita sembilan naskhah pasport Filipina, tiga naskhah pasport Vietnam, satu naskhah pasport Mongolia, lima unit telefon bimbit dan pengimbas bayaran QR.

“Turut dirampas buku rekod pekerja, buku urusniaga, lesen perniagaan, dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan wang tunai berjumlah RM1,500 dipercayai hasil kegiatan yang tidak bermoral,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata, modus operandi premis ini adalah dengan menggunakan lesen yang sah sebagai pusat kecantikan atau spa dengan memaparkan papan tanda dan perkhidmatan rawatan kecantikan bagi mengaburi pihak berkuasa.

Katanya, kegiatan mereka ini tidak diiklankan secara terbuka sebaliknya dipromosikan melalui aplikasi Telegram dan Whatsapp kepada pelanggan yang terpilih sahaja.

“Pelanggan yang hadir akan ditawarkan perkhidmatan urutan biasa dan kod rahsia akan digunakan bagi mendapatkan perkhidmatan tambahan.

“Ruang dalaman premis ini telah diubah suai dan dilengkapi dengan sistem keselamatan yang ketat. Kadar bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM180 hingga RM250 dan dipercayai telah beroperasi sejak Mac tahun lalu,” katanya.

Katanya, kesemua warganegara asing yang ditahan dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Pada masa sama, seramai tujuh lelaki warga tempatan diberikan Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN