Tasik yang semakin dilupakan

Tasik yang semakin dilupakan

DI sebalik pengiktirafan sebagai Tasik Chini Rezab Biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), realiti memperlihatkan tasik ini perlu dibaiki agar usaha pemuliharaan menjadi contoh dunia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Tasik Chini yang pernah ketika dahulu menjadi kebanggaan negara dan ikon pelancongan alam sekitar bertaraf dunia, kini berdepan kemerosotan ketara apabila kerosakan ekosistem dan tiada daya tarikan semula jadi menghimpit kawasan itu.

Walaupun pernah diiktiraf sebagai Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Tasik Chini Rezab Biosfera (TCRB), realiti di lapangan memperlihatkan tasik legenda itu seolah-olah dibiarkan tanpa usaha tuntas, sekali gus menjejaskan reputa­sinya sebagai tapak pemuliharaan dan pelancongan lestari.

Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, landskap tasik yang dahulunya dipenuhi hamparan bunga teratai kini semakin layu, biodiversiti semakin menyusut manakala aktiviti pelancongan hampir suram sekali gus menuntut usaha memulihkan Tasik Chini dilakukan secara menyeluruh.

Malah bunga teratai yang menjadi penyeri dan ikon Tasik Chini seolah-olah merajuk berbanding ketika dahulu di mana teratai mengembang luas menutupi permukaan tasik dan menjadi daya tarikan utama pelancong.

Hari ini, hampir tiada kelibat bunga itu kelihatan. Yang setia berdiri hanyalah pokok rasau, seolah-olah benteng terakhir mempertahankan maruah tasik semulajadi tersebut.

Selain itu, Lake Chini Resort terbiar sejak ditutup pada 2019 dilihat antara punca utama apabila lokasi itu yang dahulunya menjadi pintu masuk pelanco­ngan kini usang, dipenuhi semak samun dan mencerminkan imej tasik semakin terpinggir.

Penduduk menyifatkan ke­adaan itu menuntut keperluan mengimbangi pemuliharaan alam dan pembangunan pelancongan khususnya menjamin kehidupan 1,500 penduduk etnik Jakun bergantung sepenuhnya kepada Tasik Chini sebagai sumber ekonomi, makanan dan warisan.

Profesor Kehormat Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC), Pusat Pengurusan Makmal Alami dan Fizikal (ALAF) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Seri Mushrifah Idris berkata, TCRB sepatutnya menjadi model terbaik pemuliharaan biosfera negara, namun apa yang berlaku di Tasik Chini hari ini sebaliknya.

“Tasik Chini bukan sekadar destinasi pelancongan, tetapi ekosistem hidup yang menyokong komuniti, biodiversiti dan reputasi negara. Apabila tasik ini sebalik­nya, segala imej dan janji pemuliharaan turut terjejas,” katanya.

Menurut beliau, usaha memulihkan tasik wajar dilakukan secara menyeluruh khususnya apabila TCRB dinilai semula oleh UNESCO pada 2029 untuk mengekalkan status dalam Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR).

Dalam pada itu, tinjauan mendapati, Lake Chini Resort pernah sebagai resort tiga bintang yang dahulunya boleh ditempah secara dalam talian kini dipenuhi rumput panjang.

Kira-kira 16 jenis bilik yang terdapat di situ terlalu teruk keadaannya seolah-olah dipecah masuk apabila mengalami kerosakan struktur dalamannya, termasuk pendingin hawa seperti dicuri.

Difahamkan, sejak terbiar, lokasi itu turut menjadi sarang perbuatan tidak bermoral khusus membabitkan remaja yang tinggal berhampiran resort berkenaan.

PERNAH DIGELAR VENICE OF THE EAST

Bagi masyarakat Jakun, ber­kurangnya ikan memberikan isyarat tidak baik apabila mereka percaya Tasik Chini mempunyai roh dan ia perlu diperlakukan dengan penuh adab serta pantang larang kerana mengibaratkannya seperti satu tubuh berkongsi nadi.

Bagi anak jati Tasik Chini, Akid Huat, 67, tasik tersebut memiliki ramuan lengkap untuk menjadi identiti Pahang yang unggul.

Menurutnya, walaupun Tasik Chini seolah-olah menutup pintunya kepada orang luar, kehidupan masyarakat Jakun tidak pernah terputus daripada tasik itu.

“Dalam sunyi pelancongan, etnik Jakun terus menjalani kehidupan seadanya, berpaut kepada alam sebagai mana diwarisi sejak turun-temurun.

“Kanak-kanak masih mandi manda di gigi tasik, berperahu kecil dan berenang bebas. Tasik ini sekolah pertama kami, taman permainan kami dan dapur kami,” katanya.

Menurutnya, bagi masyarakat Jakun, hubungan dengan Tasik Chini bukan sekadar soal ekonomi atau pelancongan, tetapi hubungan jiwa.

“Ikatan antara tasik dan etnik Jakun ibarat darah dan nadi, tidak boleh dipisahkan walau berdepan perubahan zaman dan tekanan pembangunan,” katanya. 

Walaupun ekosistemnya terjejas, beberapa spesies ikan tradisi tasik masih setia menghuni perairan Tasik Chini, antaranya ikan loma yang suatu masa dahulu melimpah ruah dan menjadi sumber utama protein penduduk.

Akid berkata, ketegasan kerajaan negeri menghentikan aktiviti perlombongan dan pembalakan sekitar tasik wajar dipuji kerana berjaya mengekalkan status TCRB pada 2023, namun rakyat masih menanti Tasik Chini dihidupkan semula sebagai destinasi pelancongan berteraskan komuniti.

“Tasik Chini bukan asing dalam dunia dokumentasi dan seni. Filem Naga Tasik Chini arahan Allahyarham Nordin Ahmad membuktikan legenda tasik ini sudah lama berakar dalam minda rakyat Malaysia. Hari ini, ia hanya tinggal nostalgia.

“Walaupun terdapat usaha kerajaan negeri untuk membuka semula Tasik Chini kepada pelancong, ia masih belum menjadi kenyataan,” katanya. 

Bekas pengusaha bot pelancong, Jalil Md. Noor, 72, mengimbau era kegemilangan 1980-an dan 1990-an apabila Tasik Chini pernah digelar Venice of The East.

“Bot pelancong pada ketika itu berselisih siur, panorama tasik dipenuhi siulan burung, unggas hutan dan irama katak,” katanya.

Menurutnya, lebih 10 tahun menjadi pemandu bot membolehkannya bertutur bahasa Inggeris dan memahami asas bahasa Perancis, Korea serta Jepun.

“Namun segalanya berubah dan sedih melihat keadaan tasik yang dahulunya indah kini sepi begitu sahaja. Sebuah resort yang dahulu menjadi tumpuan pelancong kini terbiar,” katanya.

Penduduk Kampung Salong, Mohd. Rizal Mat Saman, 40, pula mahu Tasik Chini ditambahbaik demi meningkatkan potensi pelancongan negara.

“Resort Tasik Chini yang dahulu menjadi nadi pelancongan kini kosong, bangunannya reput dan jeti sunyi tanpa pengunjung,” katanya.

Pelancong dari Kuala Lumpur, Alex Au Yong, 47, yang datang bersama isterinya Abigail Ann, 33, sedih melihat keadaan tasik dan resort yang terbiar begitu sahaja. 

“Saya pernah datang pada 1980-an bersama ibu dan bapa saya. Saya masih ingat ketika itu bunga teratai mengembang luas, tasik cukup indah. Hari ini, semuanya sangat berbeza,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×