Tanya, minta izin sebelum sentuh heroin – Alvn - Utusan Malaysia

Tanya, minta izin sebelum sentuh heroin – Alvn

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bagi mengelakkan salah faham serta memudahkan urusan di set penggambaran, pelakon dan penyanyi, Alvn sentiasa memastikan dirinya meminta izin terlebih dahulu sebelum melakonkan sebarang babak bersentuhan dengan pelakon gandingan.

Menurut Alvn, amalan itu sudah lama dipraktikkannya, lebih-lebih lagi apabila bekerjasama dengan pelakon wanita yang sudah berstatus isteri orang, termasuk Nabila Razali menerusi drama Sesaat Lebih.

“Untuk drama kali ini, pada awalnya memang agak mencabar dari segi keserasian apabila bergandingan dengan pelakon yang sudah berkahwin.

“Kita perlu menjaga batas, namun dalam masa sama tetap mencari keserasian supaya lakonan kelihatan natural,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Alvn meluahkan rasa lega kerana Nabila disifatkan sebagai seorang pelakon yang profesional dan memahami tuntutan kerjaya.

“Sejak awal di set penggambaran, saya berbincang secara baik. Saya beritahu babak yang memerlukan sentuhan dan turut bertanya sama ada suaminya memberi keizinan.

“Apabila semuanya jelas dan dipersetujui, barulah masing-masing selesa dan mudah untuk masuk ‘air’,” jelasnya.

Tambah Alvn, sesi latihan amat penting bagi memastikan setiap pergerakan dibincangkan terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang rasa tidak selesa.

“Tambahan pula saya bukan beragama Islam, jadi perkara seperti ini memang perlu ditanya terlebih dahulu. Dengan heroin yang belum berkahwin pun, saya tetap akan minta izin.

“Kita tidak tahu batas masing-masing, jadi semua perkara perlu dibincangkan awal, termasuk pergerakan dan sentuhan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Alvn dan Nabila bakal bergandingan sebagai suami isteri menerusi drama 12 episod berjudul Sesaat Lebih (Just A Little Longer).

Selain Alvn dan Nabila Razali, drama tersebut turut dibintangi Hazziq Husni, Zila Bakarin dan Hawra Jamalullail. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN