Taman permainan Kg. Baru Bukit Pilah bukan lagi tempat selamat - Utusan Malaysia

Taman permainan Kg. Baru Bukit Pilah bukan lagi tempat selamat

WONG Han Teck menunjukkan alat permainan yang rosak dan tidak diselenggara ketika ditemui di Kampung Baru Bukit Pilah, Jempol, Negeri Sembilan. – UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Keadaan taman permainan awam di Kampung Baru Bukit Pilah di sini, mencetuskan kebimbangan penduduk susulan beberapa peralatan dikatakan rosak dan tidak diselenggara dengan sempurna.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, beberapa alat permainan dan senaman mengalami kerosakan manakala penutup keselamatan pada bahagian bucu besi tidak dipasang, sekali gus mendedahkan risiko kece­deraan kepada pengguna.

Penduduk, Wong Han Teck, 48, berkata, terdapat kes kanak-kanak terjatuh ketika bermain buaian dipercayai berpunca daripada skru yang tercabut.

Katanya, projek baik pu­lih melibatkan kos hampir RM200,000 pernah dilaksanakan, namun masih terdapat peralatan yang rosak.

“Yang kami risaukan adalah keselamatan kanak-kanak. Mereka setiap petang akan turun ke sini untuk bermain. Ada peralatan yang sudah lama rosak, cuma penyelenggaraan di­buat separuh jalan.

“Bila saya buat aduan tentang satu peralatan, satu itu sahaja yang dibaiki. Sepatutnya jika sudah buat, buatlah sehingga selesai,” katanya ketika ditemui.

Han Teck berkata, pihak berwajib ada beberapa kali melakukan pemantauan ketika sebelum dan selepas projek penyelenggaraan disiapkan.

“Pihak berkaitan sudah da­tang pantau sebelum lulus projek, lepas siap pun mereka ada datang periksa. Sudah lebih lima bulan projek penyelenggaraan ini siap, tetapi pelik kenapa masih ada peralatan rosak yang tidak diselenggara dengan be­tul,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Le­ong Kam Fong, 68, berkata, taman permainan itu menjadi tumpuan cucu-cucunya setiap kali pulang ke kampung, namun keadaan itu menyebabkan mereka tidak lagi berani untuk bermain.

“Pelapik lantai permainan pun kasar, cucu saya kata kaki sakit serta tidak berani naik melainkan pakai kasut.

“Cucu saya pernah balik ke rumah lalu mengadu kaki ber­darah. Bila tengok memang ada luka di tapak kaki akibat bermain di situ,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN