KUALA LUMPUR: Pelakon, Emyra Erysha, berkata status sebagai selebriti tidak pernah menghadkan dirinya untuk hanya memakai pakaian mahal dan berjenama.
Malah pelakon cantik ini mengakui dia sering membeli pakaian dengan harga mampu milik kerana tertarik dengan kualiti pakaian tersebut.
“Saya pernah beli baju yang mahal. Lepas itu rasa membazir kerana baju itu jarang saya pakai.
“Sejak itu, saya beli baju ikut kemampuan. Orang kata ukur baju di badan sendiri.
“Dan sekarang ini bukan jenama yang saya pentingkan, sebaliknya keselesaan dan kualiti dengan harga mampu milik,” katanya yang ditemui pada pertunjukkan fesyen Bulan Bintang The Next Chapter 2026, baru-baru ini.
Diminta berkongsi pandangan mengenai trend baju Hari Raya Aidilfitri mahal dan berjenama, kata Erysha, perkara itu bergantung kepada kemampuan kewangan masing-masing.
“Pada saya itu pilihan masing-masing. Ada individu yang sanggup berbelanja lebih untuk nampak cantik dan berlainan.
“Kita pun tak tahu mungkin sebelum itu dia lama menyimpan wang untuk dapatkan baju-baju itu.
“Tapi, janganlah sampai kita membebankan diri sendiri kerana ikut trend pakai baju mahal dan cantik.
“Baju harga mampu milik pun banyak yang cantik. Ia bergantung kepada si pemakai untuk menyerlah penampilannya,” katanya. – UTUSAN










