Tak mengaku tipu wanita supaya dilantik sebagai perunding program

Tak mengaku tipu wanita supaya dilantik sebagai perunding program

V. KATHIRKAMANATHAN (kiri) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang atas pertuduhan menipu seorang wanita supaya mencadangkan namanya dilantik sebagai perunding program sebuah kolej perubatan swasta pada 2024.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Seorang bekas profesor mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menipu seorang wanita supaya mencadangkan namanya dilantik sebagai perunding program sebuah kolej perubatan swasta, kira-kira dua tahun lalu.

Tertuduh, V. Kathirkamanathan, 73, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa memperdaya Zalinah Abdul Rahman supaya mencadangkan agar dirinya dilantik sebagai Programme Consultant bagi Master of Science in Occupational Therapy di sebuah kolej perubatan Ireland yang mempunyai kampus di Malaysia iaitu RUMC.

Tertuduh juga didakwa mencadangkan bayaran sebanyak RM20,000 untuk membangunkan modul Program Terapi Pekerjaan, walaupun mengetahui lantikan tersebut melanggar kontrak kerja antara tertuduh dengan Universiti Perdana.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kampus RUMC, George Town, dalam Daerah Timur Laut pada 26 September 2024 dan atas kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee manakala tertuduh diwakili peguam, Eric Paulsen.

Ketika prosiding, pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM20,000, namun, Paulsen dalam rayuannya memohon agar jaminan sebanyak RM5,000 diberikan atas alasan anak guamnya menghidap masalah jantung dan sakit belakang serta tidak memiliki rekod jenayah.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur pada setiap 1 hari bulan bermula 1 Mac depan sehingga kes selesai.

Pada masa yang sama, beliau turut menetapkan 1 April depan sebagai tarikh untuk sebutan semula kes tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN