Tahan, halau kontena bawa e-waste

Tahan, halau kontena bawa e-waste

Wan Abdul Latiff Wan Jaffar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kontena yang dikesan membawa masuk sisa elektronik (e-waste) secara tidak sah atau diisytiharkan palsu boleh ditahan atau dipulangkan ke negara asal di bawah Seksyen 31, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. 

Bukan itu sahaja, kertas siasatan boleh dibuka sekali gus pendakwaan di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dikenakan terhadap pihak terlibat termasuk pembatalan lesen.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, langkah ini bertujuan memastikan pematuhan undang-undang serta mengekang kegiatan penyeludupan e-waste yang menjejaskan alam sekitar dan keselamatan awam.

“Pengurusan e-waste yang tidak teratur boleh menyebabkan pelepasan bahan berbahaya seperti logam berat dan bahan toksik yang boleh mencemarkan tanah, air dan udara. 

“Pendedahan berterusan kepada bahan ini boleh menjejaskan kesihatan manusia, termasuk risiko kepada sistem saraf, pernafasan dan keselamatan komuniti setempat.

“Oleh itu, kawalan ketat terhadap e-waste adalah penting bagi memastikan perlindungan alam sekitar dan kesejahteraan rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam akhbar ini mendedahkan sebanyak 701 kontena sisa elektronik dikesan cuba diseludup masuk ke negara ini sepanjang tempoh empat tahun lalu dengan setiap kontena dianggarkan membawa 20 tan metrik sisa itu.

Wan Abdul Latiff berkata, JAS merupakan agensi utama negara yang bertanggungjawab mengawal selia pengurusan buangan terjadual termasuk e-waste yang meliputi penggubalan dan pelaksanaan dasar kawal selia, pemantauan pematuhan serta penguatkuasaan undang-undang terhadap aktiviti sisa itu.

“Di peringkat antarabangsa, JAS bertindak sebagai Pihak Berkuasa Kompeten atau Competent Authority bagi pelaksanaan Konvensyen Basel, khususnya berkaitan kawalan pergerakan rentas sempadan buangan terjadual bagi melindungi alam sekitar dan kesihatan awam negara,” jelasnya.

Katanya, Malaysia adalah sebuah negara kepada Konvensyen Basel sejak 8 Oktober 1993 di mana JAS bertindak sebagai pihak berkuasa kompeten bagi buangan terjadual yang bertanggungjawab melaksanakan semua peruntukan konvensyen ini di Malaysia termasuk kawalan pergerakan rentas sempadan sisa berbahaya e-waste.

Jelasnya, Konvensyen Basel mensyaratkan semua pergerakan rentas sempadan sisa terjadual termasuk import, eksport, transit dan transhipment mendapat kelulusan bertulis terlebih dahulu melalui prosedur pihak berkuasa negara pengimport dan negara pengeksport.

“Di Malaysia, pengimportan e-waste dikawal di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. 

“E-waste dikategorikan sebagai buangan terjadual di bawah kod SW110 dalam Jadual Pertama peraturan tersebut,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×