BAGAN DATUK: Tabika dan Tadika Kemas akan terus memainkan peranan penting dalam menyediakan murid berusia tiga dan empat tahun sebelum mereka melangkah ke prasekolah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu bertepatan dengan penyelarasan kurikulum yang selari dengan sistem prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menurutnya, Tabika dan Tadika Kemas, bersama prasekolah Perpaduan serta institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan terus memberi tumpuan kepada pendidikan awal kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun.
“Tabika dan tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan terus berperanan penting sebagai kelas persediaan untuk pelajar prasekolah dan Tahun Satu di negara ini.
“Pelan pendidikan negara sangat terkini apabila mereka yang berumur enam tahun akan menjadi murid Tahun Satu.
“Tabika dan tadika Kemas, begitu juga persekolah perpaduan dan juga Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menyantuni murid daripada umur tiga dan empat tahun.
“Jadi Jemaah Menteri pada Jumaat telah memutuskan bahawa Kemas meneruskan kelas-kelas yang sedang berjalan sekarang,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Pecah Tanah Taman Industri QL Innofood Park, Hutan Melintang di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Ahmad Zahid berkata, perlu ada penyelarasan dan juga penguasaan supaya ada kesinambungan silibus ataupun mata pelajaran dengan tadika ataupun kelas prasekolah di sekolah kebangsaan untuk murid-murid yang berumur lima tahun.
“Saya fikir pelan pendidikan Malaysia ini adalah pelan yang sangat terkini dan disesuaikan dengan suasana sekarang apabila mereka yang berumur enam tahun akan masuk sebagai murid Tahun Satu.
“Persiapan perlu diadakan dengan teliti dan Kemas akan menjadi kelas perantara untuk murid prasekolah dan Tahun Satu secara berkesan,” katanya. – UTUSAN










