Syamsol puji persembahan pemain - Utusan Malaysia

Syamsol puji persembahan pemain

PEMAIN Perak meraikan jaringan ketika menentang KL City FC dalam perlawanan Piala Malaysia di Stadium Manjung semalam. - GAMBAR PERAK FA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Ketua Jurulatih Perak FA, Syamsol Saad memuji anak buahnya berikutan persembahan berkesan sehingga berjaya meraih kejayaan 2-0 ke atas KL City FC dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandran Manjung semalam.

Menurutnya, pemain beraksi dengan cemerlang dan berjaya melaksanakan tugas dengan berkesan.

“Saya angkat topi kepada setiap anggota pasukan. Pemain Perak tidak panik dan bermain mengikut arahan dan perancangan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan..

Jurulatih itu mengakui tugas berat dipikul anak buahnya dalam perlawanan semalam kerana KL City bukan calang-calang pasukan.

Menurutnya, lawan merupakan pasukan berpengalaman yang dibarisi pemain seperti Safawi Rasid, Paulo Josue, Adam Nor Azlin, Kpah Sherman dan Kenny Pallraj.

Syamsol berkata, taktik bertahan Perak berkesan untuk menghalang KL City.

“Corak bertahan kami memang tidak menarik tetapi ia nyata berkesan. Bola Sepak bukan mengenai bermain cantik semata-mata tetapi juga keberkesanan taktik yang menghasilkan keputusan, ” katanya.

Sementara itu, rakan sejawatannya dalam KL City FC, Vidakovic Savic Risto berkata, Perak berhak untuk menang kerana bertahan dengan baik.

” Kami menyerang bagai nak gila tetapi mereka berjaya menyekat kemaraan kami, “katanya.

Risto bagaimanapun tidak menyerah kalah kerana masih ada peluang untuk membuat perhitungan dalam pertemuan kedua nanti.

“Peluang belum berakhir lagi, kami akan bangkit dalam pertemuan kedua, ” katanya.

Pada perlawanan semalam, Perak FA yang beraksi dalam Liga A1 Semipro mengejutkan pasukan KL City FC dengan jaringan 2-0.

Ahmad Daniel Hakimi meletak tuan rumah di hadapan menerusi jaringan pada minit ke-11.

Muhammad Fadhil Muhammad Azmi mengukuhkan kedudukan Perak menerusi jaringan kedua pada minit ke-53. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN