BUKIT MERTAJAM : Nasib tujuh sekeluarga yang terpaksa tinggal dalam sebuah kereta selepas ditipu pemilik rumah sewa di sini lebih setahun yang lalu kini berubah sepenuhnya selepas kisah mereka mendapat perhatian Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.
Steven berkata, perubahan itu disaksikannya sendiri apabila beliau berpeluang menziarahi keluarga berkenaan selepas menerima satu pesanan menerusi aplikasi Whatsapp daripada ketua keluarga tersebut yang dikenali sebagai Hilmi ketika sambutan Krismas, baru-baru ini.
“Hari ini, saya ambil sedikit masa untuk ziarah ke rumah Hilmi. Saya nak tengok sendiri keadaan keluarga mereka berbanding setahun yang lalu. Hilmi sambut saya di depan pintu, terus peluk dan ucapkan terima kasih.
“Lelaki yang setahun lalu saya temui sedang duduk beralaskan kain rentang buruk di tepi kereta usang bersama isteri dan lima anak kecil, hari ini berdiri di depan rumah sendiri dengan senyuman dan keyakinan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook, hari ini.
Steven yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, kehidupan Hilmi sekeluarga yang berasal dari Kelantan itu juga sudah jauh berubah berbanding sebelum ini selepas berjaya memiliki rumah sewa baharu atas usahanya sendiri.
Katanya, jika dahulu, dua ketul ayam pun terpaksa dikongsi tujuh orang, kini, masing-masing ada bahagian sendiri dan rumah yang dihuni itu juga lebih selesa dan lengkap dengan pelbagai peralatan walaupun tidak mewah.
Lebih menggembirakan katanya, isteri kepada Hilmi iaitu Yani juga baru sahaja melahirkan anak keenam beberapa bulan lalu sekali gus menjadikan mereka semua kini berlapan.
“Sekarang, Hilmi ada kerja tetap sebagai pemandu lori. Gaji agak lumayan, cukup untuk sara keluarga. Tapi, kerja jauh, jarang ada di rumah. Hari ini, dia ambil cuti khas sebab tahu saya nak datang. Katanya: ‘Saya nak YB tengok sendiri hasil bantuan YB. Saya tak lupa.’
“Dia bangga tunjuk slip gaji bulanan – lebih RM5,000! Saya senyum. Saya tak buat semua ini untuk dikenang. Saya buat sebab saya percaya bila kita bantu orang susah, kita bukan sekadar ubah hidup mereka, kita ubah masa depan anak-anak mereka,” ujar Steven.
Tambah Steven, kereta jenis Perodua Bezza yang pernah menjadi ‘rumah’ kepada keluarga itu sebelum ini juga telah dijual dan digantikan dengan sebuah kereta Proton Waja terpakai.

Jelas beliau, kereta itu dibeli secara tunai kerana Hilmi enggan menanggung hutang dan melihat anak-anaknya hidup susah seperti dirinya suatu ketika dahulu.
“Saya tengok Hilmi dan Yani bukan sahaja bangkit, tapi, mereka bangkit dengan maruah. Mereka tak minta-minta, mereka tak merungut. Mereka usaha, mereka kerja keras, mereka jaga anak-anak dengan penuh kasih. Saya bangga dengan mereka. ‘Jalan Teruih’, Hilmi!,” kata Steven.-UTUSAN










