Stesen Pam Kemubu 4 berfungsi penuh Februari, atasi kemarau

Stesen Pam Kemubu 4 berfungsi penuh Februari, atasi kemarau

OPERASI menguji Pam Kemubu 4 Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Stesen Pam Kemubu, Ketereh, Kota Bharu, Kelantan.  -UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Stesen Pam Kemubu 4 dijangka beroperasi sepenuhnya pada awal Februari ini sekali gus menyelesaikan masalah bekalan air dan ancaman kemarau yang saban tahun menjejaskan petak-petak sawah di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

Pengerusi KADA, Khalid Abdul Samad berkata, ujian awal ke atas dua daripada lapan pam di stesen berkenaan berjalan lancar yang memberikan keyakinan bahawa keseluruhan sistem bernilai hampir RM20 juta itu berfungsi sepenuhnya, termasuk empat pam tambahan di Lemal, Pasir Mas, dekat sini.

“Kemubu 4 mampu menyediakan bekalan air mencukupi bagi 16,000 hektar bendang melibatkan lebih 4,000 pesawah di Bachok, Kota Bharu dan Pasir Puteh,” katanya selepas menyaksikan ujian awal di Stesen Pam Kemubu, di sini, hari ini.

Khalid berkata, KADA memutuskan pada masa hadapan hanya Kemubu 2, 3 dan 4 akan digunakan manakala Kemubu 1 yang dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein pada 2 Mac 1973 dimansuhkan daripada operasi penuh.

Katanya, ia berikutan Rumah Pam Kemubu 1 masih menggunakan sistem lama yang memerlukan ketinggian paras air minimum 4.9 meter untuk berfungsi, yang sukar dicapai dalam keadaan iklim semasa pada masa kini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN