KUALA LUMPUR: Kerajaan dianggarkan mengutip RM55.9 bilion sepanjang tahun lalu melalui Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), iaitu lebih tinggi berbanding kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 2017.
Oleh itu, kerajaan tidak merancang memperkenalkan semula GST, sebaliknya terus mengekalkan SST sebagai sistem cukai penggunaan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun GST mampu menjana hasil lebih tinggi kerana dikenakan di semua peringkat rantaian bekalan, namun ia memberi kesan kenaikan harga lebih meluas dan meningkatkan tekanan kos sara hidup rakyat.
Katanya, SST pula bersifat bersasar dan satu peringkat, dengan barangan serta perkhidmatan asas dikecualikan, sekali gus mengehadkan kesan inflasi kepada sektor tertentu sahaja.
“Kutipan GST pada 2017 berjumlah RM44 bilion manakala kutipan SST dianggarkan RM55.9 bilion pada 2025. Ini menunjukkan SST masih mampu menjana hasil tanpa membebankan majoriti rakyat,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen, semalam.
Anwar menjawab soalan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN-Beluran) adakah kerajaan bercadang untuk mengkaji semula pelaksanaan SST pada masa hadapan.
Anwar berkata, kesan SST terhadap inflasi kekal terkawal dengan kadar inflasi Malaysia pada November 2025 hanya 1.4 peratus, tidak menunjukkan tekanan harga menyeluruh seperti yang sering dikaitkan dengan GST.
Beliau berkata, kerajaan akan menambah baik pelaksanaan SST dari segi pematuhan dan perluasan asas cukai secara bersasar, selain memastikan kos sara hidup rakyat terus terpelihara.
Dalam pada itu, Perdana Menteri selepas menerima kunjungan hormat Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md. Othman berkata, kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan tidak boleh dibina dengan slogan semata-mata, sebaliknya perlu diperkukuh melalui amalan profesionalisme, akauntabiliti dan integriti yang tegas dalam setiap lapisan pentadbiran dan operasi.
Anwar berkata, dalam menghadapi cabaran semasa termasuk isu salah guna kuasa dan rasuah yang boleh mencalar imej institusi, tiada kompromi akan diberikan terhadap sebarang pelanggaran amanah.
“Kerajaan akan mendukung usaha Tentera Darat kekal sebagai pasukan berwibawa, profesional dan disegani, di samping memastikan kebajikan pegawai, anggota, keluarga serta veteran diberi perhatian sewajarnya,” katanya. – UTUSAN










