SJK(C) On Pong 2 cipta sejarah buka pra sekolah, perkukuh penguasaan 3M - Utusan Malaysia

SJK(C) On Pong 2 cipta sejarah buka pra sekolah, perkukuh penguasaan 3M

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG: Sekolah Jenis Kebangsaan(C) On Pong 2 melakar sejarah apabila buat pertama kali membuka kelas pra sekolah, sebagai satu langkah strategik untuk memperkukuh penguasaan asas 3M iaitu menulis, membaca dan mengira dalam kalangan murid.

Pembukaan pra sekolah itu juga dilihat sebagai usaha meringankan beban kewangan ibu bapa yang sebelum ini terpaksa menghantar anak ke tadika swasta dengan kos yang lebih tinggi, selain memastikan kesinambungan pembelajaran dalam persekitaran sekolah rendah.

Guru Besar SJK (C) On Pong 2, Gan Poh Choo berkata, inisiatif tersebut dirancang secara teliti bagi memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak terhadap budaya pembelajaran formal sebelum melangkah ke tahun satu.

Katanya, pendekatan pembelajaran yang digunakan menekankan penguasaan 3M secara berperingkat dan seimbang, selari dengan perkembangan murid pra sekolah.

“Matlamat utama kami ialah menyediakan asas kukuh supaya murid lebih bersedia, yakin dan tidak ketinggalan apabila memasuki alam persekolahan rendah, jadi adalah sangat penting untuk kita kukuhkan penguasaan 3M sebelum memasuki persekolahan darjah satu,” katanya.

Turut hadir merasmikan pembukaan pra sekolah tersebut, Pengerusi Lembaga Pengelola SJK (C) On Pong 2, Tan Sri Tee Hock Seng.

Seramai 25 pelajar diterima bagi kumpulan pertama pra sekolah SJK(C) On Pong 2, dengan sokongan tenaga pengajar sedia ada yang berpengalaman serta dibantu oleh guru terlatih dalam pendidikan awal kanak-kanak.

Mengulas lanjut, Gan turut berkata, nisbah guru dan murid yang terkawal membolehkan perhatian lebih diberikan kepada setiap pelajar, sekali gus memastikan keberkesanan proses pembelajaran dan pemantauan perkembangan individu.

Katanya lagi, pembukaan pra sekolah itu mendapat sambutan menggalakkan daripada ibu bapa yang menyifatkan ia sebagai alternatif dan lebih menjimatkan berbanding tadika swasta.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN