PUTRAJAYA: Kadar maksimum bagi tapak bazar Ramadan di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada tahun ini ditetapkan pada RM400 iaitu pengurangan RM100 berbanding RM500 pada tahun lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kadar caj yang sama turut diwajibkan ke atas persatuan penjaja bagi mengelak sebarang beban kewangan yang tidak munasabah dikenakan ke atas penjaja.
“Saya berharap bila kita turunkan kadar caj, peniaga juga akan mengenakan harga makanan yang munasabah kepada warga Kuala Lumpur, kerana bersama-sama kita nak bantu turunkan kadar atau harga makanan yang dijual di bazar Ramadan,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Sri Wilayah di sini semalam.
Hannah berkata, sebarang amalan jual beli tapak atau pengambilan untung berlebihan adalah dilarang sama sekali dan tindakan penguatkuasaan akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pelanggaran termasuk melibatkan penganjur.
Beliau berkata, penganjuran pada tahun ini melibatkan sembilan lokasi petak niaga berada di bawah seliaan DBKL, manakala 32 lokasi petak dikendalikan oleh persatuan penjaja.
Jelasnya, tiga persatuan utama yang terlibat ialah Pertubuhan Pasar Malam Kuala Lumpur, Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan serta Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Bagi tahun ini, pelaksanaan model pengurusan hibrid mengekalkan peranan DBKL sebagai pihak bertanggungjawab terhadap kawal selia, pelesenan dan penguatkuasaan, manakala persatuan penjaja mengurus operasi harian tapak bazar.
“Pendekatan ini dibentuk hasil penilaian pelaksanaan lalu, dapatan post-mortem operasi serta libat urus bersama pihak berkepentingan bagi menutup kelemahan sedia ada dan memperkemas peranan setiap pihak,’ katanya.
Kata Hannah, antara dapatan adalah pelaksanaan permohonan secara terbuka dan penawaran petak melalui proses undian menyebabkan penafian hak penjaja berlesen sedia ada di beberapa lokasi bazar dan wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan persatuan kerana tidak dapat membantu penjaja.










