Setakat ini tudung masih di atas kepala - Kilafairy nafi sukar dapat tawaran - Utusan Malaysia

Setakat ini tudung masih di atas kepala – Kilafairy nafi sukar dapat tawaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi, Kilafairy menafikan dakwaan kononnya kesukaran mendapatkan tawaran kerja menjadi punca dia terfikir untuk kembali membuka tudung.

Menurut Kila atau Syakila Nisa Jahangir Khan, 34, perasaan tersebut hadir disebabkan iman yang ada kalanya turun naik, namun dia terus berusaha untuk kekal istiqamah menutup aurat.

“Bukan sebab tiada tawaran kerja. Sejujurnya, tawaran berlakon masih ada dan Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik.

“Cuma tidak dinafikan pada waktu tertentu, datang perasaan yang sukar dijelaskan. Terlintas rasa lebih senang kalau keluar tanpa tudung, bebas tanpa berfikir panjang. Namun perasaan itu cepat-cepat saya tahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di lokasi penggambaran drama Flat Simpang Satu, di sini, semalam.

Mengakui perjalanan untuk terus kuat bukan sesuatu yang mudah, penyanyi lagu Tumpang Lalu itu berkata, setiap kali diuji, dia akan segera mendapatkan nasihat daripada ustazah.

“Apabila perasaan itu datang, saya terus hubungi ustazah. Ustazah beritahu, di situlah pahala saya. Usaha menahan diri daripada membuka tudung itu sendiri merupakan satu ganjaran.

“Menariknya, ramai juga yang menghantar mesej kepada saya dan berkata, ‘Ya Allah, saya ingat saya seorang sahaja yang rasa macam ini’.

“Saya suka apabila mereka sedar bahawa mereka tidak keseorangan. Saya percaya hampir setiap wanita pernah melalui fasa sebegini,” katanya.

Tambah Kila, selepas berkongsi perasaannya secara terbuka, ramai pengikut di Instagram turut meluahkan pengalaman sama, sekali gus membuatkan dia berasa lebih kuat dan tidak bersendirian dalam perjuangan tersebut.

Dalam masa sama, Kila bersyukur kerana dikelilingi rakan-rakan yang sentiasa memberi nasihat serta peminat yang tidak putus mendoakannya.

“Ada juga rakan-rakan yang menghubungi, tetapi akhirnya diri sendiri yang perlu kuat. Dalam hati selalu terdetik, ‘sayangnya nak buka’, jadi perasaan itu masih menahan saya.

“Setakat ini Alhamdulillah, tudung masih di atas kepala. Doakanlah supaya ia berterusan sampai bila-bila.

“Saya percaya saya mampu bertahan kerana doa orang ramai. Doa itu sangat kuat kesannya. Walaupun ada waktu saya keliru, saya tetap melawan perasaan tersebut,” ujarnya.

Sebelum ini, pengakuan Kila yang pernah berdepan detik goyah sehingga terlintas untuk membuka tudung mencuri perhatian ramai.

Namun, rata-rata netizen tampil memberikan sokongan serta menitipkan doa dan kata-kata semangat buat pelakon itu.

Untuk rekod, Kilafairy mula berhijab pada tahun 2020. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN