Serangan maut di restoran: Reman dua suspek disambung

Serangan maut di restoran: Reman dua suspek disambung

DUA suspek yang dipercayai terlibat dalam kes serangan bersenjatakan parang sehingga meragut nyawa seorang lelaki di sebuah restoran di Sungai Bakap, minggu lepas, disambung reman selama enam hari bermula esok oleh Mahkamah Majistret Jawi di Pulau Pinang.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Dua suspek yang sebelum ini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes serangan bersenjatakan parang sehingga meragut nyawa seorang lelaki di sebuah restoran di Sungai Bakap, minggu lepas, disambung reman bermula esok.

Perintah lanjutan reman selama enam hari itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Ainna Ahmad bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, kedua-dua suspek lelaki yang masing-masing berusia 23 dan 36 tahun itu tiba di Mahkamah Majistret Jawi di sini kira-kira pukul 9 pagi dengan dikawal ketat oleh anggota polis.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang, Selasa lalu, mangsa yang berusia 59 tahun disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital akibat cedera parah selepas diserang sekumpulan lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang di restoran terbabit.

Serangan yang sama turut mencederakan dua lelaki lain dengan seorang daripada mereka dilaporkan masih berada dalam keadaan kritikal manakala seorang lagi pula telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di hospital.

Menurut polis, sehingga kini, seramai 14 suspek yang terdiri daripada ahli kongsi gelap telah ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan yang dipercayai berpunca daripada masalah hutang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN