NIBONG TEBAL : Polis menahan 10 lagi individu bagi membantu siasatan berhubung satu kes serangan menggunakan parang di sebuah restoran di Sungai Bakap yang meragut nyawa seorang lelaki berusia 59 tahun, Rabu lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, kesemua individu terbabit ditahan dalam serbuan berasingan di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di sini dan Taiping, Perak semalam.
“Penangkapan itu sekali gus menjadikan jumlah suspek yang ditahan berhubung kes itu ketika ini adalah seramai 14 orang selepas empat daripada mereka ditangkap masa 48 jam selepas kejadian.
“Kesemua suspek ini berusia dalam lingkungan umur antara 24 hingga 54 tahun dan dipercayai merupakan ahli kongsi gelap yang aktif di Pulau Pinang,” katanya di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, mangsa disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital akibat cedera parah selepas diserang sekumpulan lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang di restoran terbabit.
Serangan yang sama turut mencederakan dua lagi lelaki lain dengan seorang daripada mereka dilaporkan masih berada dalam keadaan kritikal manakala seorang lagi pula telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di hospital.
Difahamkan, rakaman video mengenai kejadian itu tular di media sosial dan polis kini sedang mengenal pasti motif serangan selain mengesan suspek lain yang terlibat dalam kejadian berkenaan.
Sementara itu, Azizee berkata, siasatan awal mendapati, 10 daripada keseluruhan 14 suspek yang ditahan itu memiliki rekod kesalahan berkaitan jenayah dan dadah.
“Hasil daripada risikan yang dijalankan juga, pasukan operasi telah menggempur beberapa kawasan yang dipercayai menjadi tempat berkumpul ahli-ahli kumpulan ini bagi mengesan saki baki suspek yang terlibat dalam kejadian ini,” ujar beliau.-UTUSAN










