KOTA BHARU: Sebanyak 22 sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) tidak diserahkan sepenuhnya kepada Kementerian Pendidikan (KPM), sebaliknya hanya melibatkan pendaftaran pentadbiran.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, ia bagi membolehkan sekolah terlibat menerima bantuan kerajaan Persekutuan.
Katanya, pendaftaran tersebut tidak menjejaskan kedudukan YIK sebagai pemilik dan pengendali utama sekolah terbabit.
“Kita tidak menyerahkan sekolah kepada KPM. Apa yang berlaku ialah pendaftaran pentadbiran di bawah KPM. Mudir dan guru masih di bawah YIK, malah guru diberi pilihan sama ada kekal bersama YIK atau berkhidmat di bawah KPM di sekolah yang terlibat.
“Dari segi gaji, guru YIK dibayar oleh YIK manakala guru KPM dibayar KPM. Bangunan sekolah dan tanah kekal milik YIK,” katanya selepas merasmikan Majlis Apresiasi Guru Terbaik Gred Purata Mata Pelajaran Peperiksaan SMU, SMTQ, STUP, SPM dan STAM Tahun 2024 di sini hari ini.
Wan Roslan berkata, setakat ini 20 daripada 93 sekolah agama YIK telah didaftarkan pentadbiran di bawah KPM dan dikenali sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).
Sebelum itu tular satu hantaran yang dimuat naik di laman sosial Facebook mendakwa 22 buah sekolah YIK telah diserahkan kepada KPM untuk menjadi SABK disebabkan oleh YIK tidak mampu membayar gaji, belanja pengurusan dan infra. – UTUSAN










