CYBERJAYA: Kesemua pintu masuk utama negara dijangka menggunakan pintu pagar automatik (autogate) sepenuhnya bermula awal April depan, susulan pelaksanaan reformasi sistem pemeriksaan imigresen yang kini beralih kepada penggunaan satu sistem penyedia perkhidmatan tunggal.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan menambah baik pengalaman pergerakan keluar masuk pelancong dan rakyat, tanpa menjejaskan aspek keselamatan negara.
Menurut beliau, ketika ini sistem perlepasan imigresen negara masih bergantung kepada tiga penyedia perkhidmatan berbeza, justeru peralihan kepada satu sistem tunggal perlu dilaksanakan secara terancang bagi memastikan tiada gangguan operasi.
“Perolehan sudah selesai, namun peralihan daripada tiga sistem kepada satu sistem ini mesti dilakukan dengan penuh perancangan.
“Tanggungjawab kita adalah memastikan hasil akhirnya memberi pengalaman yang lebih lancar kepada orang ramai dan pelancong, tanpa kepayahan serta tidak berkompromi dari segi keselamatan,” katanya ketika majlis sembang santai bersama media di sini hari ini.
Saifuddin berkata, secara keseluruhan sebanyak 635 unit autogate akan ditempatkan di seluruh pintu masuk negara sebagai sebahagian daripada proses peralihan tersebut.
Tambahnya, keutamaan diberikan bagi memastikan peralihan daripada sistem lama kepada sistem baharu berjalan tanpa sebarang gangguan di kaunter imigresen.
“Kita kini berada dalam fasa percubaan dan pemantauan. Sekiranya berlaku gangguan, puncanya akan dikenal pasti sama ada melibatkan sistem atau infrastruktur dan tindakan mitigasi akan dilakukan segera,” katanya.
Beliau menegaskan, projek tersebut merupakan projek peralihan besar dalam reformasi pintu masuk negara yang menggantikan tiga penyedia perkhidmatan lama kepada satu penyedia perkhidmatan tunggal.
“Tempoh peralihan ini akan bermula pada awal suku kedua tahun ini dengan pengoperasian keseluruhan 635 autogate di pintu masuk negara,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin menegaskan, proses peralihan sistem yang sedang dilaksanakan tidak melibatkan sebarang pemindahan atau perkongsian data yang boleh menjejaskan integriti maklumat pengguna.
Beliau berkata, data pengguna kekal berada dalam ekosistem yang sah dan dilindungi, walaupun ketika ini terdapat tiga penyedia perkhidmatan lama yang masih beroperasi secara serentak di pintu masuk tertentu.
Menurutnya, sistem peralihan sedia ada termasuk penggunaan MyBorderPass dan modul kemasukan lain hanya memerlukan dua perkara asas daripada pengguna iaitu pendaftaran identiti melalui MyDigital ID atau kaedah eKYC, serta pengesahan pasport yang sah.
“Sistem baharu nanti menggunakan pengecaman wajah, iris dan pengesahan pasport. Maka isu kecurian atau kebocoran data imigresen tidak timbul kerana struktur datanya tidak bersilang dengan vendor lama,” katanya. – UTUSAN










