Semua pihak wajib tandatangan polisi cegah buli

Semua pihak wajib tandatangan polisi cegah buli

FADHLINA Sidek (kiri) beramah mesra dengan murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Regent di Elmina, Shah Alam, semalam. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ibu bapa kepada kira-kira 5.2 juta pelajar, semua pemegang taruh dan guru sekolah seluruh negara diwajibkan menandatangani Polisi Perlindungan Murid dalam usaha mencegah masalah buli di sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tanggungjawab mencegah kegiatan buli di sekolah merupakan tanggungjawab bersama bagi memastikan keselamatan pelajar di sekolah pada tahun ini.

“Kita tidak akan berkompromi dalam soal itu dan tanggungjawab mesti dipikul bersama untuk memastikan sekolah sejahtera dan anak-anak kita dilindungi.

“Sebab itu dalam konteks tahun ini juga, semua pihak akan menandatangani Polisi Perlindungan Murid yang melibatkan semua pemegang taruh dengan aku janji untuk menjaga, memelihara dan melindungi anak-anak kita,” katanya ketika ditemui selepas meninjau hari pertama pembukaan sekolah sesi 2026 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Regent, Elmina di sini semalam.

Pada Disember lalu, Utusan Malaysia melaporkan Kementerian Pendidikan akan memperkenalkan Aku Janji Sekolah antara pihak sekolah, ibu bapa dan murid sebagai komitmen terhadap disiplin dan nilai diri.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad memaklumkan, dasar tersebut turut dilaksanakan di sekolah antarabangsa dan kini diadaptasi dalam konteks sekolah di negara ini.

Menurut Fadhlina, Kementerian Pendidikan turut memperkenalkan Manual Buku Sekolah Sejahtera, Sekolah Selamat yang dilaksanakan beriringan dengan Polisi Perlindungan Murid.

“Itu juga sedang dalam peringkat akhir untuk kita kongsikan bersama dengan ibu bapa dan seluruh masyarakat tentang tanggungjawab kita bersama untuk melindungi anak-anak kita.

“Insya-Allah, akan diperkenalkan, maknanya (bermula) buka sekolah, dalam masa terdekat mereka akan tanda tangan dasar itu,” ujarnya.

Sementara itu, Fadhlina berkata, kajian mengadakan semula peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Tingkatan 3 (PT3) dapat diselesaikan dalam tahun ini sebelum dibentangkan secepat mungkin kepada Jemaah Menteri.

Katanya, dalam kajian tersebut kementeriannya mendapatkan input dan permintaan daripada ibu bapa di samping impak terhadap pentaksiran yang sedang dilaksanakan ketika ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN