KUALA LUMPUR: Semua Ahli Jawatankuasa (AJK) Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2025–2029 secara kolektif dan sukarela meletakkan jawatan serta-merta hari ini.
FAM dalam kenyatan berkata, keputusan itu dibuat secara sebulat suara dengan mengambil kira tanggungjawab organisasi dan tanpa kepentingan atau jawatan peribadi.
Katanya, ia merupakan langkah berhemah dan berprinsip yang diambil susulan situasi terkini yang telah menarik perhatian umum.
Ujarnya, peletakan jawatan itu bertujuan mencapai objektif berikut antaranya menjaga reputasi dan kepentingan organisasi FAM serta mengurangkan risiko lebih buruk yang boleh menjejaskan bola sepak Malaysia secara keseluruhan.
“Menegakkan prinsip tadbir urus yang baik dan akauntabiliti, terutamanya dalam keadaan di mana keyakinan awam perlu dipelihara.
“Menyediakan ruang sewajarnya kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk bebas menilai, meneliti dan jika perlu, menangani perkara-perkara berkaitan tadbir urus serta hal ehwal pentadbiran FAM.
“Memastikan sebarang pembaharuan yang perlu dilaksanakan dapat dijalankan tanpa gangguan atau konflik persepsi dan dengan asas kepercayaan yang tinggi,” katanya.
FAM berkata, peletakan jawatan itu juga menunjukkan bahawa khidmat kepada bola sepak Malaysia lebih utama berbanding tempoh jawatan, walaupun AJK Eksekutif telah diberikan mandat selama empat tahun (penggal 2025–2029), namun melepaskan jawatan secara sukarela selepas 11 bulan dipilih.
“Memulihkan keyakinan dalam kalangan penyokong, pihak berkepentingan, rakan kongsi, dan komuniti bola sepak secara keseluruhan. Mengekalkan kredibiliti institusi adalah penting bagi kestabilan, kelestarian dan pembangunan masa depan bola sepak Malaysia.
“Jawatankuasa Eksekutif menegaskan bahawa mereka akan tetap memberikan kerjasama penuh kepada FIFA, AFC dan semua pihak berkepentingan yang relevan, sekalipun tidak lagi memegang sebarang jawatan, selain mereka menekankan komitmen masing-masing terhadap kepentingan jangka panjang bola sepak Malaysia. – UTUSAN










