Selera mengandung anak ketiga makin aneh, Uyaina Arshad mengidam emas - Utusan Malaysia

Selera mengandung anak ketiga makin aneh, Uyaina Arshad mengidam emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad, berkongsi pengalaman mengandung anak ketiga yang dianggap sangat berbeza kerana mula ‘mengidam’ tabiat mengumpul emas.

Uyaina atau Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 33, berkata pada awalnya dia hanya teringin makan masakan kampung, namun selera itu berubah apabila dia mula mengidam mendapatkan emas.

“Mula-mula dulu memang nak lauk Melayu sahaja. Selain lauk kampung, saya tak nak. Tapi lama-kelamaan, tiba-tiba rasa macam tak makan pun tak apa, asalkan dapat emas.

“Memang ‘mengidam’ emas itu nyata. Dulu saya macam tak percaya, tapi bila alami sendiri, baru saya tahu perasaannya,” katanya.

Uyaina ditemui Utusan Malaysia semasa majlis tayangan perdana filem The Voice Of Hind Rajab, di sini, semalam.

Dalam pada itu, pelakon Kau Cipta Kasih tersebut mengakui sudah menjelajah beberapa kedai emas yang dikatakan menawarkan harga emas yang murah seperti di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

“Ramai yang cadangkan ke Kelantan, tapi saya takut ‘terberanak’ pula di sana sebab jauh sangat. Jadi saya cari yang dekat-dekat sahaja.

“Saya sampai ke Pilah sebab memang murah di sana. Saya kongsikan pengalaman itu di media sosial dan tak sangka pula ia menjadi tular. Ada juga suami orang yang hantar pesanan (DM) minta saya berhenti pengaruh isteri mereka untuk mengidam emas,” katanya ketawa.

Bagaimanapun, bagi Uyaina, pembelian emas itu bukanlah satu pembaziran, sebaliknya merupakan satu bentuk pelaburan untuk masa depan keluarga.

“Saya katakan pada suami (Syahiran), ini bukan beli barang yang tidak berbaloi. Ini pelaburan yang dia sendiri akan dapat manfaatnya kemudian hari. Jadi, bila suami bagi kad kredit, kita beli,” katanya yang enggan mendedahkan jumlah emas yang sudah dibelinya.

Bercerita mengenai keadaan fizikalnya yang kini berada di trimester ketiga, Uyaina mengakui cepat berasa letih dan mengalami sakit-sakit badan yang tipikal bagi wanita hamil.

“Sekarang tinggal lagi dua minggu sahaja sebelum melahirkan. Penat di trimester ketiga ini memang tak boleh bawa bincang. Sakit pinggang, sakit belakang, semuanya ada. Harapan saya semoga Allah berikan pahala lebih untuk segala kesakitan ini,” ujarnya lagi.

Ditanya mengenai jantina bayi, Uyaina memilih untuk merahsiakannya dan mahu ia menjadi kejutan pada hari kelahiran kelak, walaupun laporan doktor sudah ada di tangan.

Bagaimanapun, Uyaina sudah pun mempunyai nama anak dan yakin suaminya, Raja Syahiran, akan bersetuju dengan cadangan tersebut. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN