Selepas banjir besar, Perlis kini berdepan kemarau - Utusan Malaysia

Selepas banjir besar, Perlis kini berdepan kemarau

JASMANI Saad meninjau keadaan sawahnya yang kering-kontang dengan keadaan tanah merekah ekoran cuaca panas yang berlarutan sejak sebulan lalu di Kampung Jejawi Dalam, Arau, Perlis. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Belum reda kesan banjir besar pada November lalu, Perlis kini berdepan pula kemarau atau cuaca kering yang menyaksikan kawasan pertanian terutama padi di ne­geri ini kering-kontang dan merekah.

Cuaca panas yang mencecah 32 sehingga 34 darjah Celsius berlarutan sejak sebulan lalu dan dijangka berpanjangan sehingga Mac dengan kerajaan negeri sedang bersiap sedia berdepan fenomena berpanjangan.

Di Repoh dan Kampung Jejawi Dalam antaranya menyaksikan 200 pesawah di kawasan seluas kira-kira 380 hektar itu terjejas apabila sawah mereka kering-kontang, manakala kea­daan tanah pula merekah.

Pesawah, Jasmani Saad, 63, berkata, cuaca panas dan ke­ring menyebabkan sawah yang diusahakan terjejas dengan keadaan mula merekah, sekali gus memberi kesan kepada tanaman.

Katanya, setiap hari dia perlu mengepam air masuk ke dalam sawah, namun keesokan hari didapati kawasan bendang kering ekoran cuaca panas.

Katanya, tidak sampai dua bulan selepas sawah ditenggelami air banjir, kini para pesawah terpaksa pula berdepan dugaan kekurangan bekalan air ekoran kemarau.

“Air sungai berhampiran yang ada tidak cukup sebab kami terpaksa berkongsi de­ngan pesawah-pesawah lain. Air sungai akan diguna di kawasan lain terlebih dahulu dan apabila sampai di kawasan kami, air sudah tidak cukup.

“Sebelum ini, benih padi habis rosak disebabkan banjir, kali ini padi tidak cukup air pula disebabkan cuaca panas dan kurang sumber air,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Katanya, pada masa ini, dia tidak merancang mengusahakan tanaman lain sebaliknya berharap pihak berwajib segera membekalkan sumber air khususnya melalui Empangan Timah Tasoh.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian ne­geri, Megat Hashirat Hassan berkata, beliau sudah berhubung dengan agensi-agensi berkaitan pertanian agar me­ngambil tindakan segera khususnya bekalan sumber air.

Katanya, agensi terlibat perlu mengambil tindakan sewajarnya tanpa perlu menunggu arahan, khususnya jika terdapat keperluan melepaskan air dari Empangan Timah Tasoh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN