Selangor akur, batal sementara ladang babi Bukit Tagar

Selangor akur desakan rakyat, batal sementara ladang babi Bukit Tagar

RUMAH estet Ladang Nigel Gardner antara kawasan perumahan yang terdapat di kawasan Bukit Tagar, Hulu Selangor, Selangor. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri akhirnya mengakui cadangan untuk membina ladang babi berpusat yang berskala besar di Bukit Tagar, Hulu Selangor menerima bantahan keras daripada rakyat dan penduduk di kawasan berkenaan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, justeru kerajaan negeri me­nyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya projek itu ditangguh atau dibatalkan sementara.

Beliau berkata, Perdana Menteri menghubunginya pada minggu lalu supaya pembinaan ladang ternakan berkeluasan kira-kira 202 hektar itu dibatalkan.

“Perdana Menteri menghubungi saya melalui panggilan telefon kerana pada waktu itu saya berada di luar negara atas urusan pemukiman sebuah syarikat, saya sendiri mengambil maklum dan menyambut baik.

“Kebetulan juga pada Rabu itu, Exco (Infrastruktur dan Pertanian) Datuk Izham Hashim membangkitkan ada bantahan keras di kawasan dicadangkan. Jadi, saya kata carilah tempat yang sesuai atau kurang sensitif,” katanya ketika ditemui, semalam.

Tambahnya, bagaimanapun, perbincangan dengan pengusaha ternakan masih dilakukan sejak beberapa minggu lalu bagi menyantuni semua pihak supaya dapat berlaku adil demi kepentingan semua.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan tersebut mendapati selain menempatkan tapak pelupusan sisa pepejal, terdapat sekitar lima kawasan perumahan estet di Ladang Mary hingga ke Ladang Nigel Gardner.

Berdekatan tapak pelupusan sisa, terdapat dua buah sekolah iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Ladang Nigel Gardner dan Ladang Mary beberapa rumah ibadat termasuk tokong, kuil di kedua-dua ladang dan sebuah Masjid Nigel Gardner dalam radius lima kilometer.

Selain itu, tinjauan lapa­ngan pemberita turut mendapati sekurang-kurangnya tujuh parit atau anak sungai yang airnya mengalir jernih, sebahagiannya dipercayai mengalirkan air dari Empangan Sungai Tinggi ke Sungai Selangor.

Berdasarkan maklumat penduduk, terdapat tiga kawasan yang salah satunya akan dijadikan ladang ternakan babi berpusat, dua berhampiran tapak pelupusan sampah dan sebuah berdekatan Empangan Sungai Tinggi.

Justeru, cadangan untuk membina ladang tersebut mendapat tentangan daripada penduduk setempat termasuk di Felda Sungai Tengi Selatan, Sungai Tengi, Soeharto dan Gedangsa.

Malah, lebih 400 individu terdiri daripada organisasi bukan kerajaan dan penduduk setempat sebelum ini berhimpun menyatakan bantahan terhadap pembinaan ladang tersebut.

Bantahan dibuat walaupun kerajaan negeri mendakwa pembinaannya akan melibatkan pembinaan teknologi terkini bagi mengurus sisa terhasil serta mengelak daripada bau dan pencemaran melalui zon penampan di kawasan yang luas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×