KUALA LUMPUR: Pelakon, Syafiq Kyle, 33, memaklumkan dia dan isteri yang juga pelakon, Mimi Lana saling mengingatkan dan menasihati agar sentiasa berhati-hati sebelum membuat perkongsian di media sosial.
Menurut Syafiq sebagai pasangan suami isteri yang dikenali ramai, amalan itu perlu agar tidak mereka tersilap langkah dengan berkongsi hantaran yang sensitif dan mengundang kecaman.
“Setiap individu ada pandangan masing-masing dan mempunyai kebebasan untuk berkongsi di media sosial.
“Tetapi sebagai selebriti, kami kena selalu beringat kerana setiap perkongsian kami akan menjadi tumpuan.
“Jadi ya, kami memang saling ingat mengingati berkenaan hal tersebut. Tapi selagi tidak melanggar batas, rasanya, tak ada yang perlu kami risaukan,” katanya.
Syafiq berkata demikian ketika ditemui sempena pertunjukkan fesyen Bulan Bintang The Next Chapter baru-baru ini.
Mengulas kenyataan Mimi yang memilih Syafiq sebagai pelakon Malaysia paling kacak menerusi Threads baru-baru ini, Syafiq menganggap perkara itu sekadar usikan yang tidak perlu diperbesarkan.
“Kenyataan itu tidaklah serius, saya anggap ia satu gurauan. Wajarlah dia puji suami sendiri, yang menjadi masalah apabila dia puji lelaki lain,” ujarnya berseloroh.
Disoal mengenai pembabitan sebagai duta pakaian Bulan Bintang, Syafiq bersyukur apabila sekali lagi diberi peluang selepas pertama kali bekerjasama dengan jenama tersebut tahun lalu.
“Saya selesa bekerjasama dengan pengasasnya, Azzim Zahid Azmi atau Meri kerana dia terbuka menerima pandangan.
“Selain itu saya juga menyambut baik usaha pasukan jenama ini yang saban tahun berusaha memperbaiki kualiti produk dihasilkan,” kongsinya. – UTUSAN










