PETALING JAYA: Tidak tahan melihat anak kesayangan menjadi mangsa kecaman, pelakon dan penyanyi terkenal, Nur Fazura tampil bersuara mempertahankan puterinya, Nur Fatima Aisya.
Menurut Fazura, isu berkenaan bukan perkara baharu, malah sudah berlarutan sejak anaknya masih kecil.
“Sebenarnya perkara ini sudah lama berlaku. Sejak Fatima dilahirkan, dia sudah berdepan dengan kecaman.
”Ketika kecil, dia belum pandai menyebut namanya sendiri dan menyebut ‘Nyamma’. Namun ada pihak mengejek dengan panggilan seperti ‘nyam-nyam bek’ dan Myanmar.
“Bukan itu sahaja, ada juga yang melabelkan dia sebagai ‘barua’ dan menyemak serta mengatakan dia tidak sepatutnya berada dalam situasi tertentu. Sedangkan saya sendiri sudah memberi kebenaran untuk dia berada di majlis tersebut,” katanya kepada media.
Susulan itu, Fazura menegaskan pendiriannya untuk tampil lantang mempertahankan anaknya daripada terus menjadi sasaran kecaman.
“Sebagai seorang ibu, saya berasa sangat marah dan terluka. Sebab itu saya bangkit mempertahankan anak saya.
“Kalau bukan saya yang mempertahankan dia, siapa lagi? Apabila dia dewasa kelak, dia akan tahu siapa yang berdiri mempertahankan dirinya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fazura turut melahirkan rasa syukur apabila diberi kepercayaan untuk menjalinkan kerjasama bersama jenama pakaian Jakel yang turut melibatkan anaknya.
“Semua ini adalah kuasa dan rezeki daripada Allah. Ia bukan semata-mata kerana saya. Saya sendiri tidak menjangkakan sambutan yang diterima begitu luar biasa sehingga tiga rekaan telah habis terjual,” jelasnya.










