Saya salah - Janna Nick enggan berbalah, nafi lindungi pembuli - Utusan Malaysia

Saya salah – Janna Nick enggan berbalah, nafi lindungi pembuli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Enggan memanjangkan sengketa, pelakon, Janna Nick, memohon maaf secara terbuka kepada selebriti, Puteri Balqis.

Menurut Janna, dia mahu salah faham yang tercetus antara mereka diselesaikan secara baik dan tertutup.

“Saya masih tunggu jawapan daripada Puteri Balqis. Adakah okey kalau kita berjumpa untuk jernihkan suasana?” katanya menerusi perkongsian di Threads.

Janna menegaskan beliau tidak pernah menyimpan perasaan benci terhadap Balqis, apatah lagi menyokong mana-mana pihak yang terlibat dalam perbuatan membuli.

“Saya tak suka bila ada anggapan mengatakan saya tak suka awak atau saya sokong pembuli. Saya tak benci awak dan saya tak pernah sokong pembuli,” jelasnya.

Tambah Janna, beliau telah cuba menghubungi Balqis menerusi mesej peribadi (DM), namun tidak menerima sebarang maklum balas.

Namun begitu, namanya tetap disebut secara terbuka sehingga mengundang pelbagai persepsi negatif terhadap dirinya.

Dalam nada rendah diri, Janna turut memohon maaf sekiranya terdapat sebarang salah laku atau kekhilafan sepanjang tempoh mereka pernah bekerjasama kira-kira 10 tahun lalu, walaupun hanya untuk beberapa hari sahaja.

“Andai kata memang tak sudi untuk berjumpa, tak mengapa. Saya minta maaf atas salah laku saya sepanjang kita pernah bekerjasama,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar Puteri Balqis terus dimurahkan rezeki serta diberikan kekuatan untuk menjaga ibunya.

Tidak hanya itu, Janna juga mengambil tanggungjawab penuh sekiranya kenyataan atau ‘thread’ yang dikongsikannya sebelum ini menjadi punca perbalahan dalam kalangan netizen.

“Saya salah. Saya tak patut cakap ‘learn to let go and let Allah take care of it’,” katanya sambil memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan.

Dalam kenyataan sama, Janna menitipkan doa buat mereka yang menyimpan dendam, kebencian, amarah dan trauma agar dikurniakan kesembuhan, kelapangan dada serta kebahagiaan dalam hidup.

Beliau turut menzahirkan keprihatinan terhadap anak-anak yang membesar dalam keluarga tidak sempurna, termasuk mereka yang melalui pengalaman ‘broken home’.

“Semoga segala trauma masa kecil akan sembuh,” katanya.

Dalam hantaran sama, Janna turut mengakui dirinya juga merupakan anak daripada keluarga berpecah-belah, tanpa kehadiran seorang bapa. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN