SHAH ALAM: Suami Datuk Nora Ariffin, Dr. Rushdi Ramli, 59, memaklumkan akan lebih tegas dalam menangani isu gangguan pihak ketiga yang hampir meranapkan rumah tangganya dengan penyanyi tersebut.
Rushdi yang hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling pagi tadi berkata, pendekatan itu diambil untuk memastikan isu berkenaan tidak berulang.
“Sebagai suami, kita ini ketua keluarga. Jadi saya akan ambil langkah sepatutnya, akan lebih tegas mengendalikan sebarang permasalahan yang timbul dalam rumah tangga saya.
“Sebelum ini bukan tidak bertegas, tapi selepas ini akan lebih berkeras. Saya mahu perkara ini jelas, tiada gangguan dari sesiapa pun.
“Itu tuntutan agama dan perintah Allah S.WT,” kongsinya.
Rushdi hadir ke mahkamah tersebut pagi tadi bagi menghadiri sesi pendengaran keputusan hakam berkenaan kes perceraian yang difailkan Nora April tahun lepas.
Nora dalam sesi itu memutuskan untuk menarik balik permohonan cerai dengan syarat tidak berlaku gangguan dari pihak ketiga yang dipercayai merupakan isteri pertama dan anak Rushdi.
Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Malaya itu dalam masa yang sama meluahkan rasa syukur dengan keputusan Nora menarik balik permohonan cerai.
“Saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. Ini yang saya harapkan.
“Alhamdulillah, Nora bersedia tarik balik permohonan (cerai),” katanya lagi.
Penyanyi lagu Di Persimpangan Dilema itu sekitar April tahun lalu memfailkan permohonan cerai di mahkamah sama susulan krisis rumah tangga, campur tangan pihak ketiga, dan kegagalan mencapai kata sepakat dengan suami.
Pasangan tersebut sah bergelar suami isteri lima tahun lepas dengan pemberitahuan itu dibuat pada Disember 2021 menerusi media sosial.
Nora sebelum itu bergelar isteri kepada komposer terkenal Allahyarham Johan Nawawi yang meninggal dunia pada Mac 2017. Mereka dikurniakan empat cahaya mata. – UTUSAN










